Lee Dong Gun alami penyakit unik - Utusan Malaysia

Lee Dong Gun alami penyakit unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Dunia hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan pendedahan pelakon terkenal, Lee Dong Gun, yang disahkan menghidap penyakit jarang berlaku dikenali sebagai ankylosing spondylitis.

Menerusi program realiti popular My Little Old Boy terbitan SBS yang bersiaran pada Ahad lalu, aktor drama Queen for Seven Days itu dilihat hadir ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah mata merah di bahagian kanan.

Dalam sesi konsultasi, Lee mendedahkan bahawa dia sudah lebih setahun berdepan gejala uveitis, iaitu keradangan pada lapisan tengah bola mata.

“Kalau tidak terlalu serius, mata saya hanya merah dan penglihatan agak kabur.

“Tetapi jika teruk, ia menjadi sangat merah dan saya terlalu sensitif terhadap cahaya,” katanya.

Pelakon ini turut mengakui pernah mengalami kesakitan yang teruk pada peringkat awal hingga sukar menahan rasa pedih apabila melihat cahaya.

Hasil pemeriksaan X-ray mendapati, Lee disahkan menghidap ankylosing spondylitis, sejenis penyakit radang kronik yang menyerang tulang belakang dan sendi sakroiliaka.

Penyakit ini dilaporkan hanya menjejaskan kira-kira satu peratus penduduk Korea Selatan.

Menurut doktor, penyakit itu kini berada pada tahap dua atau tiga, mengambil kira faktor uveitis berulang yang dialami bintang berusia 45 tahun tersebut.

“Keadaan ini boleh menjadi semakin teruk. Walaupun punca sebenar belum diketahui dan tiada ubat yang mampu menyembuhkan sepenuhnya, ia perlu dirawat sepanjang hayat,” jelas doktor berkenaan.

Ibu kepada Lee yang turut tampil dalam program itu tidak dapat menahan rasa sebak kerana sebelum ini menyangka masalah mata anaknya hanyalah sakit biasa.

Sebaik episod tersebut disiarkan, ribuan peminat membanjiri laman sosial dengan doa serta kata-kata semangat buat pelakon berkenaan agar terus kuat menjalani rawatan.

Dalam masa sama, timbul kerisauan dalam kalangan pengikutnya mengenai kemungkinan penyakit tersebut diwarisi oleh anak perempuannya, Lee Ro Ah, hasil perkahwinannya bersama aktres Jo Yoon Hee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN