GENTING HIGHLANDS: Lagu Cinta Setandan Pisang nyayian Den Manjo dan Eda Ezrin diangkat sebagai pemenang kategori Lagu Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24 yang disiarkan secara langsung TV2 dari Arena Of Stars di sini, malam tadi.
Lagu ciptaan Eddie Hamid itu berjaya menewaskan empat karya hebat lain seperti Menyantun Kasih dendangn Siti Nordiana, Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin).
Hasil kemenangan, lagu yang mengangkat dialek Kelantan itu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD)
Den Manjo dalam ucapan ketika menerima trofi bersyukur dengan kemenangan pertama kali lagu dialek Kelantan di pentas berprestij itu.
“Saya bersyukur kerana ini lagu Kelantan pertama yang menang dalam AIM, Alhamdulillah terima kasih ‘sek kito jange pecoh’,” katanya sebaik menerima trofi Lagu Etnik Terbaik di sini, malam ini.
Sementara itu, Eddie turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyatakan sokongan terhadap lagu etnik tempatan
“Terima kasih semua yang memberi sokongan terhadap lagu Kelantan dan dikir barat seperti ini,” katanya.