KUALA LUMPUR : Kumpulan Yarmuk yang berasal dari Johor tetapi ditubuhkan di Arab Saudi pada 2020, pernah mencipta nama di luar negara melalui mini album berjudul Perjuangan Yarmuk pada 2022.
Yarmuk dianggotai oleh Yasser (vokal), Aju (gitar), Fian (gitar), Zin (bass) dan Al Azmi (drum) terus mengorak langkah untuk menempatkan diri sebaris dengan kumpulan rock ternama tanah air yang lain terutama apabila lagu Perjuangan Yarmuk turut diterima dan diminati pendengar di luar negara seperti Turkiye dan Russia.
Al Azmi yang juga pengasas Yarmuk berkata, ia sesuatu yang diluar jangka kerana Perjuangan Yarmuk adalah lagu berbahasa Melayu, sedangkan mereka turut merakamkan sebuah lagu berbahasa Inggeris dengan harapan diterima pendengar antarabangsa.
“Tak sangka pula lagu Perjuangan Yarmuk yang menjadi pilihan pendengar luar negara. Lagu ini juga pernah menjuarai Top One carta muzik online DIY Popskool Oktober 2024 selepas menerima undian tertinggi mengatasi 60 lagu lain yang turut memasuki carta terbabit.
“Ia secara tidak langsung memberikan semangat kepada kami untuk terus berkarya dan menghasilkan album rock berkualiti bagi mengisi ruang industri muzik rock tanah air yang ketandusan album kumpulan rock baharu,” katanya.
Album Perjuangan Yarmuk mendapat sentuhan Aim, penyanyi kumpulan legenda Crossfire sebagai penerbit.
Mereka kini sekali lagi menjalin kerjasama dengan Aim sebagai penerbit album terbaharu, selain Al Azmi sendiri bertindak sebagai penerbit eksekutif album yang dijangka akan berada di pasaran pada penghujung tahun ini.
Penghasilan album ini adalah satu usaha besar dan berani ditengah ketidaktentuan halatuju industri muzik tempatan.
Selain Aim, Burn Crossfire (pemain gitar utama kumpulan Crossfire) juga turut sama membantu dalam susunan muzik album baharu Yarmuk di bawah label Quantize Studio &Production miliknya selain Atok Akem (Otai Art Studio Mastering) yang bertindak sebagai juru mastering.
“Album yang diberi judul Thariq ini bakal memuatkan sekurangnya campuran 12 lagu rock berat, funky dan slow rock berkonsepkan rock 80’an yang dijangka dapat memenuhi citarasa peminat muzik rock tanah air.
“Yarmuk masih mengekalkan identiti muzik rock dengan mesej tarbiyah dalam album terbaharu serta turut menyelitkan pautan kisah sejarah dan sirah.
“Antara trek yang bakal ditampilkan dan dijangka mendapat perhatian pendengar ialah Isra’, Kuku Besi (cover), Jendela Hafsah, Sang Puteri dan Anak Gaza disamping lagu-lagu lain yang turut dimuatkan,” katanya.
Isra’ mengisahkan tentang perjalanan Rasulullah dari Makkah ke Masjidil Aqsa yang penuh bersejarah dan bermakna bagi seluruh umat islam sebelum solat lima waktu mula difardukan.
Manakala Jendela Hafsah pula menceritakan tentang kisah salah seorang isteri Rasulullah bernama Saidatina Hafsah yang sangat mencintai baginda dan peninggalan sejarah tersebut dapat dilihat hingga ke hari ni melalui sebuah jendela yang sentiasa terbuka disalah satu dinding di Masjid Nabawi.
Lagu Sang Puteri mengadaptasi pengalaman seorang yang bergelar ayah yang sanggup berkorban apa jua demi kesejahteraan puteri puterinya manakala lagu Anak Gaza pula menzahirkan tentang sebuah kekesalan atas ketidak mampuan menghulurkan tangan buat rakyat Palestin malah hanya sekadar mampu menghulurkan doa untuk mereka yang berdepan kekejaman dan menghadapi kesengsaraan.
Al Azmi berkata, ia adalah pilihan terbaik selepas disaring untuk dihidangkan buat peminat rock tanah air.
Pada April lalu, Yarmuk dikejutkan dengan pemergian pemain gitar mereka iaitu Allahyarham Zuraimi Saat atau Aju akibat masalah jangkitan kuman.
“Setelah ketiadaan Allahyarham, anggota asal yang masih kekal sehingga kini ialah Al Azmi (drum) dan Zin atau lebih mesra dengan panggilan Atok Zin iaitu pemain bass kumpulan Yarmuk.
“Kami kini tampil bersama penyanyi baharu, Yasser Arafat dan Fian yang juga seorang pemain gitar bagi meneruskan misi Allahyarham Aju untuk membawakan hidangan halwa muzik rock tarbiyah kepada peminat muzik rock tanah air.
“Pemergiannya memberi kesan mendalam kepada kami,namun legasi semangat muziknya harus diteruskan,” katanya.
Bagi membawa peminat rock tanahair mengimbau nostalgia dan kembali merasai suasana zaman kegemilangan rock, Yarmuk mengambil inisiatif untuk mencetak album baharu mereka dalam bentuk kaset koleksi, selain turut dimuat dalam bentuk fail MP3 dan MP4 (usb card).
Turut disertakan bersama ialah cenderahati berupa poster dan jualan baju T untuk koleksi peminat.
“Pelancaran album dirancang dibuat di dua lokasi dan masa berasingan iaitu di Tangkak, Johor dan kemudian di I’cafe Sungai Buloh, Selangor.
“Perancangan rapi sudah pun diatur termasuk mengundang beberapa pemuzik rock tanah air untuk bersama dimajlis pelancaran album Thariq,” katanya.