Kumpulan Lot 17 gamit nostalgia era 90-an menerusi Mencari Sinar - Utusan Malaysia

Kumpulan Lot 17 gamit nostalgia era 90-an menerusi Mencari Sinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kumpulan muzik yang dianggotai oleh kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lot 17 terus mengorak langkah dalam bidang seni apabila secara rasmi melancarkan single sulung berjudul Mencari Sinar.

Lagu berkonsepkan pop balada ala era 90-an itu ditulis oleh RossBai dengan melodi digubah oleh komposer berpengalaman, Jatt Aziz manakala susunan muzik serta penerbitan sepenuhnya dikendalikan oleh Zul 2by2.

Lot 17 yang ditubuhkan sejak tahun 2010 di bawah unit kebudayaan MBKT bukanlah nama asing di pentas hiburan negeri Terengganu kerana kumpulan ini sering menjadi pilihan mengiringi acara-acara rasmi kerajaan negeri. Malah, kumpulan ini juga pernah mempersembahkan alunan muzik mereka pada majlis santapan Diraja serta diberi penghormatan mengiringi penyanyi legenda, Datuk Awie pada penganjuran Mekar Fest 2025.

Dianggotai tujuh pemuzik berpengalaman iaitu Tuan E-zat selaku vokalis utama, Lie (gitar utama), Lan Asbu (gitar kedua), Nazz (bass), Amer Ameroll (dram), Boy (keyboard) serta Armadd (biola), Lot 17 menampilkan keunikan tersendiri kerana gabungan muzik moden dengan elemen klasik menjadikan persembahan mereka segar dan berbeza daripada kumpulan lain.

Menurut vokalisnya, Tuan E-Zat, yang sebelum ini pernah menjuarai pertandingan Bintang Nescafé 2012, pelancaran Mencari Sinar adalah satu titik perubahan besar buat kumpulan mereka.

“Ini rezeki yang tidak disangka. Daripada sekadar membuat persembahan di majlis rasmi, kini kami diberi peluang untuk menampilkan karya ciptaan sendiri.

“Dengan sokongan penaja dan penerbit, kami percaya muzik Lot 17 mampu diterima dalam arus perdana,” katanya.

Tidak cuma itu, projek penghasilan lagu ini turut mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak penaja utama iaitu pengasas jenama Casalwa, Datin Sharifah Salwa Syed Shafie.

Menurutnya, penglibatan Lot 17 dalam dunia muzik profesional harus disambut dengan sokongan padu.

“Saya mula mengenali mereka melalui persembahan secara langsung. Dari situ, saya nampak bakat mereka bukan biasa-biasa.

“Mereka bukan sahaja berbakat dalam nyanyian dan permainan alat muzik, malah mempunyai keserasian dan disiplin kerja yang tinggi. Saya yakin mereka mampu pergi jauh,” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan, baru-baru ini.

Sementara itu, penerbit lagu Mencari Sinar, Zul 2by2 menyifatkan kerjasama bersama kumpulan Lot 17 sebagai sebuah pengalaman yang cukup bermakna kerana ia membuka ruang untuk mengangkat semula semangat muzik era 90-an yang kini kembali mendapat tempat dalam kalangan peminat.

Menurutnya, kekuatan utama kumpulan itu terletak pada vokal Tuan E-zat yang mampu membangkitkan nuansa nostalgia serta membuai pendengar dengan alunan yang mengimbau zaman kegemilangan muzik tempatan pada dekad berkenaan.

“Saya sangat tertarik dengan suara Tuan E-zat yang membawa vibe klasik 90-an. Sejurus mendengar rakaman awal yang mereka hasilkan, ia terus mengingatkan saya kepada era keemasan muzik ketika itu yang begitu segar dan dekat di hati pendengar.

“Berdasarkan kelebihan itu, saya mengambil pendekatan untuk menghasilkan susunan muzik yang mudah diterima khalayak namun pada masa sama tetap mengekalkan identiti tersendiri agar Mencari Sinar tampil berbeza,” jelasnya.

Dalam masa sama, Zul menegaskan bahawa usaha promosi dan strategi pemasaran untuk lagu tersebut akan dilaksanakan dengan teliti dan menyeluruh bagi memastikan karya tersebut tidak sekadar menjadi bahan hiburan sementara, sebaliknya mampu bertahan serta dikenang oleh peminat muzik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN