SEPANG: Pelakon, Jack Tan, 34, memuji sifat dan keperibadian aktor popular, Zizan Razak, yang tidak lokek berkongsi rezeki bersama barisan pelakon dan tenaga kru ketika berada di set penggambaran filem Terbang.
Menurut Jack Tan, Zizan gemar bersedekah makanan dan tindakan aktor itu membuatkan seluruh tenaga produksi berasa seronok dan bersemangat setiap kali berada di set.
“Kalau Zizan ada di set, kami (kru dan pelakon) tak pernah lapar tahu. Dia akan belanja kami semua dan akan beli makanan.
“Dia pernah beli seekor kambing golek buat kami semua untuk makan bersama-sama dan kalau dia ada memang best,”katanya.
Jack berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Terbang di sini, hari ini.
Selain itu, Jack berkata, dia juga suka dengan tenaga dan aura pelakon lain yang disifatkan mudah memberikan kerjasama dan saling membantu dalam menjayakan watak.
“Saya punya dialog ada dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris tetapi abang Zizan dan abang Namron sentiasa bantu untuk saya menghadamkan dialog supaya jadi lebih mudah,”katanya.
Filem Terbang diarahkan pengarah, Chiu Keng Guan turut membariskan pelakon lain seperti
Zizan dan Namron.
Filem yang diinspirasikan daripada kisah hidup pemandu rally legenda negara, Karamjit Singh itu juga turut dibintangi oleh Irfan Zaini, Shweta Sekhon, Diana Danielle dan ramai lagi.