KUALA LUMPUR: Pelakon yang semakin meningkat naik, Andy Teh, mengakui, terdapat persamaan mengenai mesej yang dipaparkan dalam filem terbaharunya, Abah Saya Uncle Mike (ASUM).
Menurut Andy, dia sendiri tidak menyangka bahawa jalan cerita yang dilakonkan dalam filem itu benar-benar mencerminkan apa yang pernah dilaluinya dalam kehidupan sebenar terutama membabitkan isu agama serta penerimaan keluarga.
“Pesanan ibu bapa saya hampir sama dengan apa yang ada dalam filem Uncle Mike. Saya sendiri pernah cakap sebelum ini, dan bila difikirkan balik, memang betul-betul serupa.
“Sebagai sebuah keluarga Cina, ibu bapa saya memang kuat pegangan agamanya, mereka berpegang teguh pada ajaran Buddha. Jadi, bila masuk bab ini, ia memang dekat dengan hati saya.
“Satu hari nanti, kalau ditakdirkan jodoh saya beragama Islam, sudah tentu saya perlu memeluk Islam. Itu sesuatu yang mungkin akan berlaku, kita tidak tahu,”katanya dalam podcast Bukak Mulut.
Bagaimanapun, kata Andy, apa yang menimbulkan kerisauan adalah mengenai emosi dan perasaan pada ibunya.
“Saya cuma risau ibu,tentang siapa yang akan teruskan upacara keagamaan keluarga selepas mereka sudah tiada.
“Dalam budaya Cina, kita ada upacara sembahyang, pegang colok dan pelbagai bentuk penghormatan kepada nenek moyang. Itu antara kerisauan yang paling besar dari pihak ibu,” katanya.
Namun begitu, Andy menjelaskan bahawa sebagai seorang anak, dia sedar betapa pentingnya untuk menzahirkan kasih sayang kepada ibu bapa selagi mereka masih hidup.
“Bagi saya, yang paling penting ialah tunjukkan kasih sayang sekarang, ketika mereka masih ada di dunia.
“Sebab kadang-kadang kita nampak ada yang sudah pergi (meninggal dunia), barulah anak-anak tersedar, kononnya mahu buat itu, mahu buat ini, mahu adakan majlis besar-besar untuk mereka. Tapi waktu itu sudah terlambat.
“Kalau nak tunjuk kasih sayang, lakukan sekarang, jangan tunggu selepas mereka tiada. Itulah yang saya pegang,” ujarnya lagi.
Apabila ditanya pesanan siapa yang lebih menusuk hati,sama ada ibu atau ayah,Andy mengakui bahawa kata-kata ibunya lebih mendalam berbanding bapanya, walaupun ayahnya yang mula membuka perbualan mengenai isu tersebut.
“Saya rasa pesanan daripada mak lebih berat. Sebab yang pertama kali buka cerita ini sebenarnya adalah ayah saya.
“Hari itu, kami keluar makan tengah hari berdua. Tiba-tiba, ayah mula bersuara. Dia kata, dia risau juga sebab keluarga kami memang berpegang pada tradisi.Ketika makan itu, ayah bertanya sama ada saya sudah ada teman wanita. Saya jawab belum ada.
“Kemudian dia tanya lagi, kalau saya berkawan dengan perempuan Melayu, adakah saya sanggup masuk Islam? Saya kata, ikut peraturan memang kena. Saya tanya balik, ayah ada rasa risau ke? Tapi ayah hanya diam, dia tidak habiskan perbualan itu,” katanya.
Dalam pada ity, Andy percaya, ayahnya mungkin menyambung perbualan itu dengan ibunya secara privasi.
“Sebab itu saya kata pesanan ibu lebih menusuk. Sebab dialah yang betul-betul menyampaikan perasaan risau itu kepada saya. Mungkin ayah tak mahu nampak terlalu tegas atau beratkan saya dengan persoalan besar macam tu. Jadi ibu yang terjemahkan semuanya.
“Saya sendiri tak boleh janji apa-apa tentang masa depan. Tetapi saya percaya, apa pun berlaku, kasih sayang seorang anak kepada ibu bapa tetap menjadi pegangan utama. Itu yang paling saya pegang,” katanya.










