KUALA LUMPUR : Pelakon, Rashidi Ishak, 51, meluahkan pandangan bahawa orang ramai tidak seharusnya meminta golongan selebriti untuk bersuara tentang konflik yang berlaku di Semenanjung Gaza.
Bagaimanapun, Rashidi berkata, sekiranya individu ternama itu mempunyai kesedaran terhadap isu yang berlaku mereka sendiri akan menunjukkan tanda sokongan di media sosial.
“Kepada semua anda tidak perlu meminta golongan artis atau selebriti popular bersuara tentang isu di Gaza.
“Jika mereka mahu (bersuara), mereka akan lakukan itu. Mereka (selebriti) akan menyokong Gaza sekiranya ada sifat kemanusiaan dalam diri,” katanya.
Rashidi berkongsi perkara itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya, hari ini.
Menurut Rashidi, sekiranya golongan berpengaruh itu tidak mahu membuat sebarang perkongsian secara umum di media sosial, dia meminta netizen untuk menghormati pilihan masing-masing.
“Jika tidak, biarkan mereka. Kita harus kekal beradab dan menghormati satu sama lain,”katanya.
Sebelum ini, segelintir pengguna Threads tampil meninggalkan komen dan hantaran terbuka meminta selebriti tempatan agar tidak berdiam diri terhadap konflik yang berlaku di Palestin sehingga mengorbankan ribuan rakyat negara berkenaan.
Malah mereka turut menekankan perkongsian semula (repost) berkenaan isu di Palestin tidak mencukupi sebaliknya mahu figura berpengaruh ini menunjukkan sokongan secara aktif termasuk menyebarkan maklumat tentang inisiatif yang sedang dijalankan Flotila Sumud Global.