Izzue Islam berjinak dalam dunia permotoran - Utusan Malaysia

Izzue Islam berjinak dalam dunia permotoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik kesibukan kerja demi menempa nama dalam dunia hiburan, tersimpan satu sisi berbeza dalam diri Izzue Islam yang gemar mencabar adrenalinnya menerusi aktiviti permotoran.

Menurut Izzue, menunggang motosikal merupakan salah satu cara untuk dirinya lari daripada kesibukan kerja selain mahu memenuhi kepuasan diri selepas menunggang jentera dua roda idamannya.

“Ketika ini saya sedang berjinak dengan hobi baru iaitu dunia permotoran. Kalau ada masa lapang dan terluang, saya akan pergi ride.

“Saya rasa aktiviti ride ini salah satu aktiviti sosial saya untuk hilangkan stres dan keluar sekejap dari penat kerja,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah pelakon berusia 35 tahun itu, dirinya memang sudah lama mempunyai obsesi terhadap aktiviti yang melibatkan permotoran bahkan baru sahaja membeli sebuah motor berkuasa tinggi jenama, Harley Davidson.

“Saya memang sudah lama meminati aktiviti yang melibatkan motosikal. Dari dulu lagi saya memiliki motor Vespa, cumanya kerana terlalu sibuk, jadi terpaksa lupakan aktiviti itu sementara

“Jadi, sekarang bila tidak terlalu sibuk, adalah sekejap masa untuk lakukan aktiviti tersebut. Tambahan pula, saya baru saja beli satu motor baru, Harley Davidson Street Glide,” kongsinya.

 

Pada masa sama, Izzue turut menganggap aktiviti kegemarannya itu merupakan salah satu ganjaran buat dirinya untuk melepaskan penat lelah bekerja sebagai seorang penghibur.

“Istimewanya hobi ini, dia lebih kepada self-healing dan self-rewards saja. Pada saya, dapat tunggang jentera dua roda idaman semua lelaki adalah satu kepuasan.

“Tambah pula, minat ini disokong oleh isteri. Ada masa, kami akan menaiki motor bersama,” jelasnya.

Tidak dinafikan menjadi seorang personaliti televisyen bukanlah sesuatu kerjaya yang mudah kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

Kata Izzue, kesibukan kerja membuatkan dirinya perlu merancang dengan baik serta mencari waktu yang sesuai untuk menunggang motosikalnya bersisi besar itu.

“Sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara, kerja macam saya memang tiada waktu bekerja yang tetap. Saya perlu pandai susun masa untuk bekerja dan masa untuk lakukan aktiviti ride,” katanya lagi.

Cakna setiap aktiviti mempunyai risiko dan cabaran yang menanti, bekas anggota kumpulan Forteen itu syukur dirinya belum pernah terlibat dalam sebarang kemalangan tatkala menunggang jentera dua rodanya.

Izzue bagaimanapun sempat menitipkan nasihat supaya setiap penunggang motosikal lebih berhati-hati di jalan raya memandangkan malang tidak berbau.

“Alhamdulillah, setakat ini belum pernah lagi saya terlibat dengan sebarang insiden. Cuma, aktiviti ride lebih-lebih lagi menunggang jentera dua roda ini memang risikonya tinggi.

“Antaranya, jika berlaku hujan atau selekoh berpasir di situ sahaja sudah berbahaya untuk seorang penunggang motosikal. Jadi, kena sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai kos perbelanjaan yang telah dilaburkan untuk hobi tersebut, Izzue enggan mendedahkannya namun, melihat pada jenis motor yang dibeli, sudah semestinya harganya menelan belanja ratusan ribu ringgit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN