Isu buli dalam kalangan pelajar sekolah kembali menjadi perbualan hangat masyarakat.
Beberapa kes yang tular di media sosial kebelakangan ini menimbulkan keresahan ramai pihak, termasuk selebriti dan usahawan terkenal, Wawa Zainal, yang tampil berkongsi pandangan serta luahan hatinya sebagai seorang ibu.
Menurut Wawa, kerisauan ibu bapa bukan hanya terbatas kepada kemungkinan anak menjadi mangsa buli, malah lebih membimbangkan jika tanpa disedari mereka pula yang menjadi pembuli.
“Sebagai ibu bapa, saya dan suami, Aeril, tentunya sangat risau dengan isu buli yang menjadi bahan bualan ramai pada ketika ini.
“Mungkin kalau kena pergi ke sekolah atau apa, sebagai ibu bapa ini, kita risau lah benda-benda itu akan ditanyakan apa lagi jika anak kena buli bukan?
“Tetapi dalam masa yang sama kita harus risau juga kalau anak kita jadi pembuli. Jadi kita kena ambil tahu dan ambil berat juga keadaan itu. Maksudnya, setiap hari kita kena berkomunikasi dengan anak-anak tentang aktiviti harian mereka di sekolah,”katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, kata Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, dia percaya kunci utama dalam mencegah gejala buli adalah berkomunikasi berterusan antara ibu bapa dan anak-anak.
Setiap hari, katanya, ibu bapa perlu mengambil tahu apa yang berlaku di sekolah, sama ada anak mereka dibuli atau mungkin mereka sendiri yang tidak sedar telah membuli rakan.
“Macam saya dan Aeril, kami akan tanya anak-anak, apa yang terjadi di sekolah sepanjang hari? Tanya ada tak orang yang buli mereka atau pun ada tak mereka mengeluarkan kata-kata tidak baik terhadap kawan-kawan mereka? Dalam erti kata lain, tany bagaimana mereka berinteraksi dengan rakan di sekolah.
“Sebab adakala mereka tak faham. Kalau kita tanya, ada tak awak buli kawan? Mereka tak faham. Nanti anak-anak ingat buli tu hanya pukul, tolak atau gaduh secara fizikal.
“Tetapi sebenarnya, mengeluarkan kata-kata yang tidak elok itu pun sudah dikira membuli,”katanya.
Selain itu, pelakon berusia 34 tahun ini menambah, kadangkala anak-anak tidak jujur atau tidak sedar dengan tingkah laku sendiri, menyebabkan ibu bapa harus sedar apa peranan yang harus dimainkan.
“Kadang-kadang kita tanya anak, ada kena buli tak di sekolah? Dia jawab tak ada. Tapi entah-entah dia yang membuli orang lain.
“Jadi, risau juga kalau anak kita jadi pembuli. Tak semestinya anak kita hanya mangsa, kadang-kadang mereka boleh jadi pelaku juga. Sebab itu ibu bapa kena lebih cakna,”katanya.
Berikutan itu, kata Wawa, dia dan suami memilih untuk bersikap tegas tetapi terbuka dengan pihak sekolah.
Malah, kedua-duanya memberi kepercayaan penuh kepada guru untuk menegur atau mendisiplinkan anak-anak jika melakukan kesalahan.
“Kami memilih bersikap telus dengan guru anak-anak. Kalau anak buat salah, kami izikan untuk marah sahaja mereka. Dan kalau ada apa-apa yang tak elok, cikgu beritahu kami dulu.
“Maksudnya, saya dan Aeril ambil pendekatan macam mak ayah zaman dulu. Kalau cikgu nak rotan, pukul sikit pun kami izinkan. Saya sendiri pernah cakap dengan cikgu, kalau dia buat hal, cikgu marah je, tak ada masalah,”katanya.
Menurut Wawa, sikap sesetengah ibu bapa moden yang terlalu memanjakan anak hingga guru tidak boleh langsung menegur atau menyentuh pelajar sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk.
“Sekarang ini ada ibu bapa yang terlalu manjakan anak. Sampai cikgu tak boleh marah, tak boleh pegang rotan pun. Tapi bagi saya, selagi hukuman itu tidak melampaui batas, ia masih okey,”katanya.