Inul Daratista impi ada menantu, mahu hadiahkan berlian - Utusan Malaysia

Inul Daratista impi ada menantu, mahu hadiahkan berlian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Penyanyi terkemuka Indonesia, Inul Daratista, meluahkan angan-angan untuk memiliki seorang menantu meskipun anaknya, Yusuf Ivander Damares, baharu mencecah usia 16 tahun.

Menerusi hantaran di media sosial baru-baru ini, Inul menegaskan bahawa bakal menantunya kelak akan disayangi sama seperti anak kandung sendiri.

“Sebagai seorang ibu, kekasih selamanya tetaplah anak. Tetapi apabila saya memiliki menantu nanti, dia tetap akan saya sayangi seperti anak sendiri. Bukan sekadar disayang, malah saya akan ajar banyak perkara,” tulis Inul.

Penyanyi lagu Buaya Buntung itu turut menzahirkan hasratnya untuk menjadi ibu mertua yang penyayang, santai dan penuh perhatian.

Malah, Inul berangan-angan mahu mengajak bakal menantunya membeli-belah bersama, menghadiahkan berlian, selain mengajarnya memasak serta bagaimana menjaga kesetiaan terhadap pasangan.

“Saya mahu ajak membeli-belah sama-sama, seronok! Saya beri berlian banyak-banyak. Barang berharga juga saya akan turunkan kepada dia. Itulah warisan terbaik daripada hasil titik peluh saya,” katanya lagi.

Selain itu, Inul menekankan kepentingan nilai hidup dan ajaran agama dalam membina rumah tangga.

Katanya, menantu pilihan mestilah mampu saling menghormati, mempunyai belas kasihan, serta seiman dengan anak lelakinya.

“Saya ajar agama supaya lebih kuat, boleh diamalkan dalam rumah tangga agar sentiasa dalam lindungan Allah. Sudah tentu jodohnya mesti seiman,” ujarnya.

Namun begitu, Inul tetap berhati-hati dalam soal memilih bakal menantu. Dengan nada berseloroh, isteri kepada Adam Suseno itu berkata beliau mampu membezakan antara wanita yang benar-benar tulus dan sebaliknya.

“Saya tahu mana yang ikhlas, mana yang tidak! Jangan salah, saya ada pancaindera ke-20, Wajib saya lakukan solat istikharah dulu.

“Kalau kita jadi mertua yang baik dan penuh kasih sayang, Insya-Allah menantu akan lebih menyayangi kita. Malah hubungan dengan besan juga jadi akrab, boleh keluar makan bersama-sama, seronoklah begitu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN