KUALA LUMPUR: Impian yang terpendam sejak lebih empat dekad akhirnya menjadi kenyataan apabila pembikin filem tempatan, Julian Cheah tampil dengan filem terbaharu, Killmaster, sekali gus mengangkat dirinya sebagai ‘perisik Asia’ ala James Bond di layar perak.
Filem yang telah pun menemui penonton di pawagam seluruh negara itu menyaksikan Cheah sendiri menggalas watak utama sebagai ejen rahsia bernama Alex Wong.
Menurut Cheah, watak tersebut adalah transformasi besar buat dirinya selepas pernah mencuba pelbagai genre termasuk komedi, seram, vigilante dan pembunuh upahan.
“Inilah kali pertama saya tampil dengan watak ala Bond. Saya yakin genre ini paling sesuai dengan jiwa saya,” katanya pada sidang media dan pratonton filem berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.
Menariknya, kata Cheah, ilham menghasilkan Killmaster sudah mula berputik sejak tahun 1981 ketika dia menonton For Your Eyes Only di London.
“Saya masih ingat, ketika masih kecil saya beratur untuk menonton filem For Your Eyes Only. Sepanjang tayangan itu, suasana panggung gamat dengan sorakan dan tepukan penonton.
“Ia membuatkan saya berazam untuk menghasilkan filem yang dapat memberikan kegembiraan serupa kepada penonton,” jelasnya.
Filem yang menelan belanja hampir RM4 juta itu menjalani penggambaran selama tiga minggu di Ibiza, Sepanyol lokasi terkenal dengan keindahan alam dan glamornya.
Cheah menegaskan,dia mahu menghidupkan semula pesona filem Bond era 1970-an seperti The Spy Who Loved Me (1977) dan Moonraker (1979).
Berbekalkan pengalaman sebagai pelakon dan pengarah menerusi karya seperti Prince of the City, Infected Paradise dan Wild Justice, dia kali ini membiayai sendiri projek berkenaan tanpa bantuan kerajaan atau rakan kongsi.
“Jika Killmaster mendapat sokongan padu, saya mahu menghasilkan filem aksi yang lebih gah lengkap dengan adegan kejar-mengejar kereta, motosikal dan bot laju.
“Malah saya sudah menjalin hubungan dengan Gary Powell, penyelaras lagak ngeri empat filem James Bond,” katanya.
Selain Cheah, Killmaster turut menampilkan pelakon antarabangsa Monica de Caro dari Chile, Himanshu Bhatt, Jayaram Menon, Zack Aminuddin serta Muiz Rosli.
Naskhah ini mengisahkan Mejar Alex Wong atau nama kod Killmaster, seorang ejen kerajaan terlatih yang ditugaskan membongkar rangkaian pengganas.
Misi berbahaya itu membawanya ke Sepanyol, di mana dirinya bertemu seorang wanita muda yang menyimpan dendam peribadi terhadap kumpulan musuh tersebut.
Menggandingkan elemen aksi, glamor dan emosi, Killmaster dilihat sebagai percubaan berani Cheah untuk menembusi pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat.










