Dr Sam terharu lagu Saya Anak Malaysia jadi siulan sehingga ke hari ini - Utusan Malaysia

Dr Sam terharu lagu Saya Anak Malaysia jadi siulan sehingga ke hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dr Sam, mengakui terharu apabila mengetahui lagu nyanyiannya yang berjudul Saya Anak Malaysia sehingga kini diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat dan generasi.

Menurut Dr Sam atau nama sebenarnya, Salim Ibrahim, 72, lagu ciptaan Datuk M. Nasir dan lirik oleh S. Amin Shahab itu adalah milik semua rakyat Malaysia kerana ia terus bergema setiap kali menjelang 31 Ogos sekali gus menjadi simbol kebanggaan dan kecintaan terhadap tanah air.

“Syukur pada Allah. Saya terharu setiap kali dengar rakyat Malaysia nyanyi lagu ini bersama-sama. Bukan orang Melayu sahaja, masyarakat Cina dan India pun menyanyi lagu ini dengan penuh semangat.

“Lagu ini sudah jadi milik semua,” katanya ketika hadir di majlis makan malam istimewa bertemakan Saya Anak Malaysia yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, baru-baru ini.

Majlis itu merupakan inisiatif Presiden Koperasi Industri Rakaman Muzik Malaysia (KOIRAMA) yang juga Presiden Persatuan IRAMA, Ayob Abd Majid.

Selain itu, kata Dr Sam, dia yakin bahawa kekuatan lagu itu terletak pada melodinya yang mudah, lirik yang ringkas dan mesejnya yang menyentuh jiwa sekali gus menjadikan Saya Anak Malaysia sebagai lagu kebangsaan tidak rasmi yang mencerminkan semangat Malaysia Madani yang inklusif dan menyatukan.

Sementara itu, Dr Sam yang pernah membintangi filem-filem popular seperti Mekanik, Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan, kini memilih untuk memberi tumpuan kepada pengajian agama dan usaha dakwah.

Namun, dia tetap berharap lagu yang pernah mengangkat namanya itu akan terus menjadi pengikat rasa cinta terhadap tanah air dan jambatan perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Berkongsi mengenai sambutan di majlis tersebut, Dr Sam meluahkan rasa terharu terhadap usaha murni Ayob, yang juga jirannya, dalam menjayakan majlis ini.

“Saya pun tak sangka. Mula-mula fikir siapa nak datang tapi syukur, ramai juga yang hadir malam ini.

“Saya berterima kasih pada Ayob, dia faham kehidupan saya dalam dunia seni dan dia masih sudi ingat jasa orang lama macam saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid meluahkan cadangan supaya sumbangan Dr Sam diberikan pengiktirafan yang lebih besar di peringkat nasional.

“Saya pernah cadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, semasa beliau masih berada di luar kerajaan, agar diwujudkan satu program rasmi untuk menghargai jasa Dr Sam.

“Pengiktirafan seharusnya diberikan ketika seseorang itu masih hidup. Beliau layak menerima anugerah tertinggi termasuk gelaran Datuk,” katanya.

Majlis makan malam itu, katanya, bukan sahaja memberi penghargaan kepada Dr Sam, malah turut menjadi pentas untuk mengiktiraf jasa barisan seniman tanah air yang telah menyumbang kepada pembangunan negara melalui karya seni, budaya dan perjuangan dakwah.

Turut memeriahkan majlis adalah kehadiran beberapa nama besar industri hiburan termasuk penyanyi rock terkenal Mel (Ex Wings), penyanyi dangdut dan pendakwah Iwan Syahman, serta pelawak dan pelakon, Kodan Raja Lawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN