Ditawar RM150 nyanyi satu lagu, saya tak tahu mahu ketawa atau menangis - Neves Pretty Ugly - Utusan Malaysia

Ditawar RM150 nyanyi satu lagu, saya tak tahu mahu ketawa atau menangis – Neves Pretty Ugly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Pretty Ugly, Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin, meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak tergamak menawarkan bayaran hanya RM150 bagi menyanyikan sebuah lagu.

Menurut Neves, pada awalnya, dia berasa teruja apabila menerima e-mel daripada individu yang menyatakan minat terhadap band itu sejak sekian lama.

Bagaimanapun, kegembiraan tersebut bertukar menjadi hampa selepas mengetahui jumlah bayaran yang ditawarkan.

“Mula-mula saya seronok sebab dia kata memang minat band saya dari dulu.

“Tetapi bila saya tanya bajet, dia jawab RM150 untuk satu lagu. Saya tak tahu nak ketawa atau sedih,” katanya dalam satu hantaran di Threads hari ini.

Neves menjelaskan, jika band itu menerima tawaran berkenaan untuk mempersembahkan lima lagu sekalipun, jumlah yang diperoleh selepas ditolak kos operasi hanyalah sekitar RM50 seorang.

“Bayangkan RM750 dibahagi lima orang. Itu belum tolak kos sewa studio, tukar tali gitar, servis peralatan, pakaian, bayar kru, pengurus, kos minyak, makan minum, dan sebagainya.

“Macam mana artis nak terus bertahan? Inilah yang membunuh semangat pemuzik,” ujarnya.

Tambah Neves, masyarakat perlu dididik untuk lebih menghargai seni kerana ia bukan sekadar hiburan semata-mata.

“Pendidikan awal untuk hargai seni itu sangat penting. Saya berharap semangat yang kian menipis ini masih ada untuk saya teruskan perjuangan. Amin ya rabbal alamin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, rata-rata pengikutnya di Threads turut hairan dengan tindakan pihak terbabit yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN