Chloe Lim rangkul gelaran Miss Universe Malaysia 2025 - Utusan Malaysia

Chloe Lim rangkul gelaran Miss Universe Malaysia 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perunding pengurusan, Chloe Lim, 27, mencatat sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2025 selepas menewaskan 15 peserta lain pada pentas akhir pertandingan ratu cantik berprestij itu, semalam.

Anak jati ibu negara itu menyifatkan kemenangannya sebagai rezeki dan impian besar yang akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya hanya tampil sebagai Chloe, itu sahaja yang boleh saya katakan. Peserta lain juga tampil dengan keunikan masing-masing dan itu sesuatu yang sangat hebat.

“Mungkin malam ini rezeki berpihak kepada saya. Ini satu penghormatan besar dan saya sedang merealisasikan impian saya. Saya tidak pernah menjangkakannya, tetapi sentiasa berdoa untuknya,” katanya.

Memegang dua ijazah sarjana, Chloe menegaskan,dia akan memberikan sepenuh kudrat untuk menggalas cabaran mewakili Malaysia ke pentas Miss Universe 2025 di Thailand pada November nanti.

“Dalam tempoh dua bulan ini, saya harap dapat mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin.

“Sudah tentu banyak aspek yang perlu diperhalusi dan saya akan memberikan komitmen 100 peratus dari segi fizikal, mental dan emosi,” katanya.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Chloe di landasan besar untuk mengikut jejak langkah wakil Malaysia tahun lalu, Sandra Lim, yang mencipta sejarah menempatkan diri dalam Top 30 Miss Universe 2024 di Mexico, selepas penantian 54 tahun.

Tempat kedua dimenangi penasihat perniagaan, Priyaa Simmi, 30, manakala tempat ketiga milik model dan pempengaruh, Jen Li, 28.

Antara peserta lain yang turut bertanding termasuk Bhadrani Nagendran, Chloe Chin, Elaine Cheah, Elina Cheah, Joey Leng, Kavita Sanglish, Keerthanaah Parthipan, Malveen Kaur, Priscilla Yap, Priyanka Sockanathan, Dr Ranmeet Jassal, Tan Su Jie dan Valenice Tiong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN