Bertanding di Mongolia, Nadeera bawa semangat Malaysia - Utusan Malaysia

Bertanding di Mongolia, Nadeera bawa semangat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara emas, Nadeera, terus mencipta sejarah apabila dipilih mewakili negara ke pentas berprestij ABU (Asia-Pacific Broadcasting Union) Song Festival 2025 yang bakal berlangsung esok di Tsonjin Boldog, Mongolia.

Artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment itu terpilih menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mempersembahkan lagu popularnya, Bukan Lagi Kita, yang melonjakkan namanya di persada seni tanah air.

Menurut Nadeera, pemilihan tersebut adalah penghormatan besar dan peluang keemasan untuk mengangkat muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Pemilihan oleh pihak RTM ini merupakan satu penghormatan besar buat saya. Jujurnya saya sangat terharu apabila diberitahu bahawa saya bakal membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui ABU Song Festival 2025.

“Lagu ‘Bukan Lagi Kita’ sangat dekat di hati saya dan pendengar, jadi saya mahu nyanyikannya dengan seluruh jiwa, sebagai hadiah buat semua.Saya sedar di pentas ini, saya bukan sekadar Nadeera, saya adalah anak Malaysia.

“Setiap nota yang saya nyanyikan nanti adalah doa, harapan dan juga kebanggaan kita bersama. Insya-Allah, saya akan berikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Meskipun bukan kali pertama tampil di luar negara, penyanyi berbakat besar itu mengakui pengalaman kali ini cukup istimewa kerana melibatkan festival berskala antarabangsa yang menghimpunkan artis hebat dari seluruh Asia.

“Saya amat berbangga dapat mengharumkan nama negara. Terima kasih kepada RTM, Rocketfuel, pasukan produksi dan semua peminat yang menjadi tulang belakang saya,” ujarnya.

Sementara itu, pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment menyifatkan pemilihan Nadeera sebagai bukti kehebatan vokal dan disiplin tinggi yang dimiliki penyanyi tersebut.

“Kami yakin Nadeera mampu menyerlah di Mongolia dan membuka lebih banyak ruang kolaborasi antarabangsa,” jelas wakil pengurusannya.

ABU Song Festival merupakan acara tahunan anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union yang menghimpunkan persembahan muzik daripada pelbagai negara rantau Asia. Acara ini dirakam dan disiarkan semula oleh stesen penyiar negara masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN