Belagu 2 dinobat Album Terbaik AIM24 - Utusan Malaysia

Belagu 2 dinobat Album Terbaik AIM24

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Album Belagu 2 nyanyian Dayang Nurfaizah dan diterbitkan oleh Aubrey Suwito diumum sebagai pemenang Album Terbaik pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung penuh meriah di Arena of Stars, Genting Highlands, malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan penyanyi berkenaan menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) bagi penghasilan karya lebih berkualiti selepas ini.

Kemenangan itu turut menyaksikan Dayang dan Aubrey menewaskan Imaji (Aina Abdul), Belagu 2 (Dayang Nurfaizah), Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul) dan SITISM (Datuk Seri Siti Nurhaliza).

Menurut Aubrey, kemenangan ini bukan sesuatu yang disasarkan sejak awal penghasilan album, sebaliknya projek tersebut lahir daripada kecintaan terhadap seni.

“Saya dan Dayang tidak sasarkan apa-apa anugerah. Fokus kami hanyalah untuk menghasilkan album seni. Dayang sendiri sejak awal sudah jelas, album ini bukan untuk populariti tetapi sesuatu yang dia mahukan.

“Apa yang saya tak sangka, Dayang memang seorang penyanyi asli. Dalam studio dia sangat bersedia, senang bekerja, senang nak rekod. Saya sendiri tak perlu buat banyak untuk vokalnya, semuanya lancar,”katanya ketika ditemui di acara tersebut, malam tadi.

Sementara itu, Aubrey berkata, Dayang juga tidak dapat hadir ke acara berprestij malam tadi.

Selain itu, kategori Vokal Lelaki Terbaik Dalam Album dimenangi oleh Ryenald Guntabid (Lumangau Oku Dika) manakala bagi kategori Vokal Wanita Terbaik Dalam Album pula diraih oleh Aina Abdul menerusi Jangan Mati Rasa Itu.

Persembahan vokal cemerlang tersebut diiktiraf sebagai antara pencapaian terbaik dalam kerjaya seni penyanyi berkenaan.

Sejumlah 11 kategori lain turut diraikan dengan setiap pemenang menerima dana RM50,000 merangkumi Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik.

Penganjuran AIM24 kali ini dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G serta disokong oleh Kementerian Komunikasi, mengekalkan reputasi sebagai salah satu anugerah muzik paling berprestij di Malaysia.

Acara tersebut dikendalikan pasangan hos serasi, Sherry Al-Hadad dan Alif Satar, manakala barisan penghibur terdiri daripada nama besar termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Exists, Shila Amzah, Black Hanifah, Masdo, Dolla bersama penyanyi hip-hop Thailand Tobii, selain finalis kategori Artis Baru Terbaik yang turut diberi ruang mempersembahkan bakat mereka.

Turut memeriahkan pentas, kerjasama istimewa Ernie Zakri bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia yang juga finalis kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.

Barisan penyampai trofi pula dibarisi nama-nama tersohor antaranya Datuk Awie, Datuk Nora Ariffin, Tomok, Siti Nordiana, Nikki Palikat, AG Coco, Adira Suhaimi, Khai Bahar, Liyana Jasmay, Daiyan Trisha dan ramai lagi.

Secara keseluruhan, AIM24 mempertandingkan 30 kategori termasuk empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.

Sebanyak enam kategori diumumkan lebih awal pada Majlis Pra-Anugerah pada 12 September 2025, manakala 24 kategori utama diraikan pada malam kemuncak.

Majlis yang bertemakan Kemuncak Segala-Galanya itu disiarkan secara langsung melalui TV2 dan portal RTM Klik mulai jam 9 malam dengan acara karpet merah bermula jam 8 malam.

Lebih daripada sekadar pengiktirafan, AIM24 menjadi saksi kesungguhan industri muzik tempatan untuk terus berkembang seiring arus global, sekali gus mengekalkan warisan muzik tanah air di pentas antarabangsa.

Berikut ialah senarai penuh penerima anugerah:

1. ARTIS BAHARU TERBAIK: Ryenald Guntabid (Lumangau Oku Dika)

2. VOKAL LELAKI TERBAIK:  Ryenald Guntabid  (Lumangau Oku Dika) 

3. VOKAL WANITA TERBAIK:  Aina Abdul (Lagu Jangan Mati Rasa Itu)

4. VOKAL KUMPULAN TERBAIK: In-Team (Lagu Nasab Nabi)

5. KUGIRAN TERBAIK:  Mafidz (Lagu – Teleportasi)

6. VOKAL DUO/ KOLABORASI TERBAIK:  Faizal Tahir & M Nasir (Lagu Campak Bintang)

7. VIDEO MUZIK TERBAIK: Voodo (KRU)

8. RUNUT BUNYI TERBAIK DI DALAM FILEM/ DRAMA:  Hasrat (OST Imaginur)

9. LAGU ROCK TERBAIK:  Saksama (Akim & The Majistret)

10. LAGU POP TERBAIK: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)

11. LAGU RAP/ HIP HOP TERBAIK: Dannok ( Salammusik ft Namawee)

12. LAGU POP ELEKTRONIK/ DANCE TERBAIK: Angkat (Mimifly)

13. LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK: My Home Is In Your Arms ((Daiyan Trisha)

14. LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK:  Divorce in Ghana (Firdhaus)

15. LAGU INDIA TEMPATAN TERBAIK: Pothum (Sheezay & Hasmita)

16. LAGU BAHASA MELAYU TERBAIK YANG DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS LUAR NEGARA:
 Bertengkar Manis (Rossa & Barsena Bestandhi)

17. KOLABORASI ARTIS TEMPATAN BERSAMA ARTIS/ KOMPOSER LUAR NEGARA TERBAIK:
Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)

18. LAGU NASYID TERBAIK: Biar Satu Dunia Tahu (Faiza Tahir & Mirwana)

19. LAGU ETNIK TERBAIK: Cinta Setandan Pisang (Den Manjo & Eda Ezrin)

20. LAGU PERPADUAN TERBAIK: Bendera (Faizal Tahir)

21. LAGU TRADISIONAL TERBAIK: Canda Citra Cinta (Hazra Dollah)

22. KULIT SINGLE/ ALBUM TERBAIK: Iman ( Irfan Ramos)

23. SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU (SEMUA BAHASA): Rindu Menyapa (Aubrey Suwito)

24. RAKAMAN ALBUM TERBAIK:  Image Deluxe Edition (Imamz, Peter Chong, Ezra Kong)

25. RAKAMAN LAGU TERBAIK: Aura  (John Jeeves)

26. ALBUM TERBAIK:  Belagu 2  (Aubrey Suwito)

27. LAGU TERBAIK:  Jangan Mati Rasa Itu  (Aina Abdul)

28. LAGU DENGAN HASILAN VIDEO TERTINGGI Di TIK TOK:  Santai (Faizal Tahir)

29. LAGU PALING TINGGI DISTRIM :  Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)

30.  VIDEO MUZIK RASMI MALAYSIA DENGAN TONTONAN TERTINGGI DI PELANTAR VIDEO UTAMA:  Sayunk I Love You (Chombi)

31. ANUGERAH SRI WIRAMA: Dato Sri Siti Nurhaliza

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN