KUALA LUMPUR: Pelakon, Irfan Zaini menyifatkan peluang membawa watak legenda rali negara, Karamjit Singh, dalam filem Terbang sebagai satu pengalaman penuh cabaran dan tanggungjawab besar.
Menurut Irfan, dia tidak pernah menyangka akan diberikan sebuah peranan yang diinspirasikan daripada kisah hidup seorang tokoh sukan permotoran bertaraf dunia itu.
“Mula- mula bila saya dapat skrip ini, saya agak gementar juga. Saya fikir sama ada nak ambil atau tidak, sebab tanggungjawabnya besar.
“Kita nak potretkan seorang yang betul-betul unik, seorang legenda yang pernah cipta sejarah untuk Malaysia, ia tak mudah sebenarnya,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sepang Bay 13 Off-Road Ranch by MSF, Sepang, baru-baru ini.
Bagaimanapun, jelas Irfan, perasaan bimbang itu bertukar kepada minat mendalam selepas meneliti jalan cerita yang disifatkan mempunyai kekuatan emosi dan dramatik.
“Saya jadi betul-betul minat dengan skrip ini sebab ia bukan semata-mata kisah seorang lagenda.
“Ada banyak drama, ada cinta, ada persahabatan, pengkhianatan, minat, perlawanan dan juga impian. Banyak elemen yang saya yakin mampu menarik perhatian penonton,” ujarnya.
Mengulas mengenai babak perlumbaan, Irfan mengakui pada awalnya timbul kerisauan sama ada mampu atau tidak memandu seperti Karamjit.
Namun, segala kebimbangan itu hilang selepas produksi menyediakan latihan intensif bersama pasukan rali profesional.
“Sekurang-kurangnya saya sasarkan boleh capai 70 peratus. Saya gembira sebab produksi memang profesional, mereka sediakan kelas rali dengan pasukan yang profesional.
“Semua dibuat dengan betul-betul, tak ada tipu-tipu. Kami belajar cara sebenar,” katanya.
Irfan menambah, pengalaman itu membuka matanya mengenai dunia rali yang dianggap lebih mencabar berbanding Formula Satu.
“Selama ini saya fikir F1 paling gempak. Tapi sebenarnya rali lagi susah. Saya rasa kalau pemandu rali tengok F1, mereka akan anggap ia ‘simple’.
“Jadi, saya sangat gembira dapat terlibat dalam filem yang diinspirasikan oleh Karamjit. Terus-terang, saya tak pasti sama ada saya dah bagi yang terbaik atau belum. Itu di tangan penonton untuk menilai,” ujarnya.
Menurut Irfan lagi, meskipun terinspirasi daripada Karamjit, pengarah filem Terbang tidak mahu karakter Ajit ditampilkan sama 100 peratus dengan lagenda itu.
“Karakter ini ada keunikannya tersendiri. Memang ada rupa jambang dan gaya seakan-akan Karamjit, tapi dari segi karakter, ia berbeza.
“Saya sendiri dah jumpa Karamjit empat kali. Dia rajin datang ke set, tengok macam mana kami bawa kereta, malah banyak berkongsi cerita.
“Dari situ, saya lebih faham emosi dia bila berlumba, sebab dia bukan sekadar nak menang, tapi bawa nama Malaysia,” katanya.
Selain Irfan, filem Terbang turut dibarisi
pelakon yang hebat lain termasuk Namron, Diana Danielle, Aiman Hakim, Jack Tan, Zizan Razak, Shweta Sekhon serta Mikael Noah.
Disokong dengan sinematografi arahan Lim Teck Siang, muzik skor oleh Onn San, dan rekaan produksi yang teliti, Terbang dijangka akan menyajikan pengalaman menonton yang bukan sahaja mendebarkan dengan aksi rali penuh adrenalin, tetapi juga menyentuh emosi dengan elemen kekeluargaan dan perjuangan diri.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Woohoo Pictures, Terbang membawa keunikan tersendiri sebagai filem rali pertama Malaysia.