KUALA LUMPUR: Tidak mahu terus terkongkong dengan sekatan penyiaran, pengarah dan penerbit prolifik, Erma Fatima tampil dengan pendekatan baharu apabila membangunkan aplikasi digital miliknya sendiri, Karya Reels.
Aplikasi tersebut menjadi platform eksklusif buat Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 57, untuk menyalurkan karya serta mesej yang sebelum ini gagal menemui penonton kerana kekangan penapisan.
Menurut Erma, perjuangannya kini adalah memperjuangkan hak memiliki serta mengawal sepenuhnya isi kandungan karya sendiri selain berkongsi mesej sebenar dengan masyarakat.
“Perjuangan pertama saya adalah untuk memiliki karya saya sendiri. Banyak benda yang saya mahu buat tetapi tidak dapat direalisasikan.
“Saya percaya seni adalah platform terbaik untuk menyampaikan mesej. Namun saya tidak pernah diberi peluang memilih topik atau genre yang sebenarnya didahagakan masyarakat. Aplikasi ini membuka ruang baharu untuk kami para pengkarya,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Ibu Aji di sini, kelmarin.
Walaupun aplikasi tersebut memberi kebebasan lebih luas, Erma tetap menegaskan bahawa dia menghormati garis panduan kandungan seperti yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Memang ada peluang untuk buat apa sahaja tetapi saya masih berpegang kepada LPF. Kalau pun ada pelanggaran, ia sedikit sahaja, contohnya drama Pondan Ini yang tidak boleh ditayangkan di televisyen tetapi saya percaya mesejnya tetap sampai,” jelasnya.
Mengulas tercetusnya idea menghasilkan Karya Reels, Erma berkata ilham itu datang selepas dia sendiri terjebak menonton karya pendek di media sosial.
“Saya sendiri pernah terpedaya dengan short reels di TikTok dan platform lain. Trend ini sudah lama di Taiwan, China, Hollywood mahupun Bollywood.
“Sebagai pembikin filem, kalau saya boleh terpedaya untuk membayar dan menonton, saya yakin orang lain juga akan tertarik.
“Aplikasi ini mudah kerana boleh ditonton di telefon, bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” ujarnya.
Menerusi Karya Reels, penonton ditawarkan pelbagai genre karya Erma dengan bayaran langganan serendah RM10 sahaja.