KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Mira Filzah, melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila drama lakonannya, Gadis Masa, berjaya menempatkan diri dalam senarai pencalonan kategori OTT Original Terbaik di International Streaming Festival Global OTT Awards 2025.
Lebih membanggakan, Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, turut mencipta sejarah apabila menjadi pelakon wanita Malaysia pertama dijemput sebagai penyampai anugerah pada majlis tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Mira berkata, dia tidak menyangka drama terbitan platform penstriman Viu itu berjaya tercalon memandangkan persaingan hebat daripada pelbagai produksi luar negara.
“Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu drama ini tercalon.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ini bukanlah calang-calang pencalonan. Kita bersaing dengan produksi hebat dari luar negara,” ujarnya.
Menurut Mira, pengiktirafan tersebut bukan sahaja untuk dirinya, malah buat seluruh pasukan produksi yang bekerja keras menjayakan drama berkenaan.
“Saya harap pada masa akan datang, lebih banyak karya tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” tambahnya.
Difahamkan, acara anugerah itu akan berlangsung pada hari ini di Busan, Korea Selatan.
Pihak Viu dan Mira sendiri akan menghadiri majlis karpet merah berprestij tersebut.
Drama arahan Yussuf Yunus dengan idea asal Syarul Akmal dan diterbitkan oleh Cinemalaya Studios ini turut menampilkan pelakon popular Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol.
Drama romantik komedi ini mengisahkan seorang wanita muda yang kembali ke masa lalu untuk menghalang suaminya daripada menceraikannya, namun setiap cubaan menyelamatkan perkahwinannya membawa akibat yang lucu dan tidak dijangka.
Sejak tayangannya pada awal 2025, Gadis Masa telah meraih pujian kritikal dan sambutan luar biasa daripada peminat.