Tarik Bella Astillah ke bidang politik? Dunia kami berbeza - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Tarik Bella Astillah ke bidang politik? Dunia kami berbeza – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, dia tidak pernah merancang untuk menarik penyanyi dan selebriti terkenal, Bella Astillah, menyertai dunia politik.

Menurut Syed Saddiq, ini kerana dia percaya, setiap individu mempunyai minat dan kepakaran masing-masing.

Berikutan itu, Syed Saddiq berkata, dia menghormati keputusan Bella yang kekal selesa dalam kerjayanya sekarang.

“Semua orang ada kemahiran, kepakaran dan yang lebih penting, minat masing-masing. Saya rasa untuk Bella, ini (dunia seni hiburan) adalah kerjayanya. Dia sangat selesa dalam dunia ini.

“Sebenarnya, untuk berkhidmat kepada masyarakat, dia sudah buat sebelum saya lagi.

“Ini mungkin orang tidak tahu, tapi saya tahu kerana saya sendiri dengar daripada orang kampung yang pernah didatanginya. Mereka kata, ‘Bella dah banyak kali datang ke kampung saya’,” katanya ketika ditemui pada sebuah majlis baru-baru ini.

Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memuji etika kerja Bella yang disifatkan luar biasa kerana mampu mengekalkan komitmen tinggi meskipun jadual hariannya padat.

“Mungkin orang nampak dia hanya di lensa media dan hiburan, tetapi saya lebih rapat dan tengok sendiri bagaimana sibuknya dia. Dari pagi sampai malam, kadang-kadang esok ada lagi penggambaran.

“Bayangkan, saya sendiri kalau ada sesi penggambaran untuk komersial, kalau call time mula pukul 6 petang hingga 7 malam, saya sudah rasa penat.

“Tapi dia boleh buat setiap hari. Itu memang luar biasa. Bagaimanapun, untuk tarik dia ke bidang politik, bagi saya, pada akhirnya, itu adalah hak dia. Dunia kami berbeza. Saya dalam politik, dia dalam dunia hiburan. Dan saya hormati pilihan itu.

“Saya pun ada kerja hakiki di Parlimen, dan dalam masa sama saya banyak turun padang. Tetapi saya juga pernah bergabung dengan dia dalam program tertentu. Namun, ia bukan bermaksud untuk menarik dia ke arah politik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN