Perolehi injuksi mahkamah, Anna Jobling miliki bukti kukuh - Utusan Malaysia

Perolehi injuksi mahkamah, Anna Jobling miliki bukti kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Susulan kemelut antara pelakon, Anna Jobling dan ibunya, Ariz Arop, yang mendapat perhatian warganet di media sosial, peguam yang mewakili aktres itu, Wan Nurliyana Abdul Rahman tampil membuat pencerahan.

Menurut Nurliyana, proses untuk mendapatkan injunksi prohibitori dan Interim Protection Order (IPO) bukan mudah kerana ia memerlukan pembuktian yang kukuh.

Antaranya, kata Nurliyana, terdapat persoalan serius untuk dibicarakan, ganti rugi tidak akan menjadi remedi yang mencukupi, bermaksud, pampasan wang tidak dapat memperbaiki kerosakan atau kemudaratan yang berlaku.

Selain itu, katanya, keseimbangan kemudahan memihak kepada pemberian injunksi yang bermaksud, risiko ketidakadilan adalah lebih besar jika ia tidak diberikan.

“Jika seseorang memperoleh injunksi prohibitori, ini bermaksud mahkamah berpuas hati bahawa kes mereka cukup kukuh untuk menghentikan tindakan pihak lawan sebelum perbicaraan.

“Jika seseorang memperoleh kedua-duanya, iaitu injunksi prohibitori dan Perintah Perlindungan Interim (IPO), ini menunjukkan bahawa mahkamah yakin terdapat keperluan sebenar dan mendesak untuk melindungi hak serta keselamatan orang tersebut dengan segera.

“la menandakan bahawa situasi adalah serius, mendesak, dan disokong oleh bukti yang kukuh.
Ringkasnya, proses undang-undang untuk mendapatkan injunksi dan Perintah Perlindungan Interim bukanlah hak automatik yang diberikan oleh Mahkamah.

“Mahkamah mesti berpuas hati berdasarkan bukti yang dikemukakan bahawa pemohon terdedah kepada ancaman sebenar, bahaya, dan keselamatan pemohon mungkin terjejas,”katanya menerusi hantaran di Instagram Story.

Selain itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa ibu Anna ‘dikunci dalam kereta’, Nurliyana menjelaskan bahawa kenderaan itu sebenarnya boleh dibuka dari dalam.

“Kereta tidak dikunci tetapi orang yang berada di dalam tidak mahu keluar.

Beliau turut menafikan tuduhan bahawa seseorang telah dikeluarkan secara paksa dari kenderaan tersebut.

“Dia tidak disentuh atau dikeluarkan dari kereta seperti yang didakwa. Hanya kad akses Anna sahaja yang diambil dari kereta,”katanya.

Terdahulu, ibu Anna memuat naik video sedang menangis mendakwa telah dibuang anak sendiri.

Wanita itu berkata, Anna berubah sejak menjadi popular dan melayaninya seperti anjing kurap biarpun pernah berkorban harta dan tenaga demi memastikan kesenangan hidup pelakon drama Setia Itu Mahal itu.

Ariz turut memaklumkan dirinya menerima perintah injunksi yang difailkan oleh Anna, selain berkongsi foto berada di sebuah balai polis, semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN