KUALA LUMPUR: Penyanyi berbakat besar, Mariam Saim mengakui tidak terlepas daripada dibandingkan dengan penyanyi versatil, Ernie Zakri, terutamanya selepas pelancaran single keduanya baru-baru ini.
Menurut Mariam, situasi itu kemungkinan berlaku berikutan persamaan latar belakang pembelajaran vokal antara mereka selain dididik oleh tenaga pengajar yang sama.
“Saya sebenarnya sudah dikenali sejak dahulu lagi sebagai penyanyi yang menitikberatkan aspek teknikal. Cuma, ramai yang suka membandingkan saya dengan Ernie kerana kami berdua pernah menuntut ilmu daripada guru yang sama, iaitu Datuk Syafinaz Selamat.
“Kami juga belajar vokal klasikal di universiti yang sama iaitu di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Tetapi, waktu di One in a Million (OIAM), kenapa saya nak kaitkan dengan kenyataan ini, sebab walaupun saya dah lancarkan single kedua saya, masih ramai yang hendak bandingkan saya dengan Ernie.
“Jadi mungkin kekuatan kami terletak pada bahagian yang sama, iaitu teknik nyanyian. Namun, saya percaya penghayatan setiap penyanyi adalah berbeza,” katanya ketika ditemu bual di podcast Bukak Mulut,baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas tentang keperluan untuk terus menimba ilmu walaupun sudah memiliki vokal hebat, Mariam menegaskan perkara itu adalah satu keperluan.
“Saya setuju, setiap penyanyi perlu sentiasa belajar. Ilmu ini tiada batasan, sama ada dalam muzik atau apa-apa bidang sekali pun. Seperti memasak, kita belajar untuk memperbaiki kemahiran, begitu juga dalam seni suara.
“Instrumen kita ialah suara, ia memerlukan latihan berterusan. Lagi banyak kita belajar, lagi banyak yang kita tahu dan lebih mahir mengawal instrumen kita,” jelasnya.