KUALA LUMPUR: Selebriti dan pempengaruh terkemuka antarabangsa, James Charles, meraih perhatian warganet tempatan gara-gara komen negatif yang diberikannya ketika mencuba sejenis produk makanan ringan Malaysia ketika membuat siaran di You Tube baru-baru ini.
Merujuk kepada jenama NIMS Crispy Choco Tub, James telah memberikan angka 3 daripada 10 markah sekali gus turut meraih perhatian pengasas makanan tersebut.
Menurut Tengku Norhanim Tengku Othman atau mesra disapa Hanim, pihaknya tidak tersinggung malah cukup terbuka menerima ulasan dilakukan James.
“Tak semua tekak sama. Biasalah kalau ada yang tak suka. Tapi ramai rakyat Malaysia bagi rating 10/10 kepada kami. Malah, kami juga sudah tembus pasaran 18 negara termasuk Amerika Syarikat,” katanya.
Hanim menegaskan, ulasan negatif itu tidak sedikit pun mematahkan semangat sebaliknya melihat ia dengan konsep Bad Marketing, Big Impact.
“Jadi saya okey saja dan tak ambik hati dengan ulasan dia.Kalau dia terkenal dengan gambaran bersifat ‘fruity’, kami pula penuh warna-warni! Mana tahu James boleh reka kombo ikut citarasa dia.
“Pembungkusan pun biar dia boleh pilih dan tentukan. Mana tahu boleh wujud kolaborasi NIMS X James Charles,” katanya.
Sementara itu, kata Hanim, dia tidak menolak pada masa yang sama sangat berbangga kerana selebriti dan pempengaruh antarabangsa sudi mencuba makanan produk tempatan khususnya daripada jenama itu.
“Bukan mudah kita nak pelawa atau minta selebtiti mahupun individu terkenal mencuba sesebuah produk. Jadi sebab itu, kami amat berterima kasih dan berbesar hati dengan ‘publisiti percuma’ diberikannya.
“Tambah pula, kita tahu dia sangat energetik , penuh jenaka dan paling penting jujur dalam memberikan komen.
“Walaupun boleh makan hati dengan komen jujurnya, tapi itu sama sekali tidak pernah mematahkan semangat kami,”katanya.
Terdahulu, video berjudul Mencuba Makanan Snek Viral dari Kedai TikTok yang dimuat naik oleh James di You Tube itu telah mendapat lebih 22,000 tanda suka dengan tontonan melebihi 700,000.