KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyampai radio, Daniel Cheang, meluahkan rasa syukur kerana dirinya masih diberi peluang untuk terus melakar kerjaya tersendiri dalam industri hiburan tempatan meskipun kini mula meneroka pasaran antarabangsa.
Berbekalkan pengalaman sebagai hos pelbagai program televisyen, penyampai radio Hitz Weekend ini berkata, dia yakin mampu mencipta kejayaan suatu hari nanti walaupun pada waktu ini tidak mendapat publisiti meluas.
“Saya sentiasa berfikir ke hadapan. Mungkin pasaran saya lebih sesuai di luar negara, tetapi saya tetap bersyukur kerana masih ada rezeki di tanah air.
“Saya sendiri akui bahawa kisah perjalanan karier saya pun ada jatuh bangunnya, dalam dunia penyiaran sehinggalah kepada peluang yang akhirnya membawa saya ke pentas antarabangsa.
“Ini kerana saya yakin, tidak wujud istilah terlalu kecil dalam mana-mana peranan. Bagi saya, setiap peluang adalah ruang untuk belajar dan berkembang, kita yang harus ambil peluang itu,”katanya.
Selain bidang penyiaran, Daniel turut pernah mencuba dunia lakonan menerusi drama siri Astro Gempak bertajuk Imperfect, kemunculan sebagai cameo dalam filem Polis Evo 2, serta beberapa drama tempatan lain.
Tidak cuma itu, Daniel juga mengakui baharu sahaja selesai menjadi pengacara belakang tabir untuk rancangan Raise The Star Malaysia.
Selain itu, Daniel memberitahu dia akan terus komited dengan siri temu bualantarabangsa seperti tahun-tahun sebelum ini, di samping peranan tetapnya di radio.
“Ada beberapa lagi program televisyen baharu dijangka menyusul, namun masih belum boleh diumumkan secara rasmi.
“Saya juga terbuka untuk kembali ke set lakonan sekiranya ada peluang dan watak yang sesuai,”katanya.
Dalam pada itu, berbicara mengenai inisiatifnya bertemu dengan Dr Healing baru-baru ini, kata Daniel, sesi khas itu disertainya bagi membantu mendapatkan keyakinannya semula.
Kata Daniel, sebelum ini dia pernah berhadapan dengan situasi bila mana impiannya belum tercapai dan itu menyebabkan dirinya berasa murung dan tidak bersemangat.
Dalam sesi hampir sejam itu, kata Daniel, Dr Healing,memperkenalkan teknik Centre of Excellence (COE) untuk penyembuhan, pendekatan daripada Neuro Linguistic Programming( NLP) yang membantu seseorang mencapai semula keadaan mental, emosi dan fizikal terbaik mereka, atau lebih dikenali sebagai state of excellence.
“Apabila menjalani sesi khas itu, pandangan saya mengenai industri hiburan, kesihatan mental dan peranan sebagai figura awam mula berubah.
“Saya percaya bahawa menjadi relevan bukan bergantung kepada kemunculan berlebihan, tetapi kepada nilai yang dibawa dalam setiap langkah.
“Kadang-kadang, orang hanya nampak apa yang viral. Tapi saya percaya, perkara yang
bertahan lama datang daripada asas yang jujur dan konsisten,” katanya.









