KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Tulus, kembali menghangatkan pentas hiburan tanah air dengan sebuah konsert istimewa, Ruang Inspirasi Fest (RIF) di ibu negara, yang telah lama dinantikan para peminat.
Berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Tulus mengakui, kehadirannya kali ini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduannya terhadap peminat di sini setelah sekian lama tidak ke Malaysia.
Berkongsi perasaannya kembali ke Kuala Lumpur, Tulus meluahkan rasa teruja.
“Saya senang dan bersyukur sekali untuk kesempatan datang lagi ke Kuala Lumpur, bertemu dan menyanyi dengan teman-teman di sini.
“Juga rindu kotanya, makanan dan orang-orangnya yang menyenangkan,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Tidak cuma itu, penyanyi bersuara lunak yang sering dipuji kerana vokalnya persis ‘telan kaset’ turut berkongsi rahsia menjaga suara agar kekal mantap di atas pentas.
“Terima kasih banyak. Untuk suara, sebisa mungkin saya menjalankan hari-hari yang seimbang antara bekerja dan beristirahat.
“Pola keseharian yang berimbang ini adalah kunci utama vokal yang optimal. Yang lebih istimewa, apresiasi penonton di atas panggung adalah energi baik yang membuat kami terus berusaha tampil sebaik mungkin,” jelasnya.
Menceritakan mengenai konsert pada 17 Ogos lalu, Tulus mengakui, antara banyak-banyak lagu yang dibawakannya tempoh hari, lagu berjudul Sepatu adalah antara karya paling peribadi untuk dikongsikan bersama peminat.
“Semua lagu yang saya bawakan mempunyai kesan yang khas dan berbeza. Tapi kalau harus pilih satu, saya rasa lagu Sepatu ada ‘sesuatu’.
“Saya bersyukur dan menikmati betul mendengar paduan suara saya dan seluruh penonton. Ia menyuntik memori yang berharga buat diri dan saya sendiri percaya, peminat juga begitu,”katanya.
Dalam pada itu, apabila ditanya tentang lagu yang ingin dijadikan latar bunyi setiap kali melangkah sepanjang hidup, Tulus memilih muzik instrumental yang tenang bagi mencipta suasana damai.
Selain itu, Tulus turut menyentuh tentang emosi peminat yang kadangkala mengalirkan air mata ketika mendengar lagu-lagunya.
“Saya berharap interaksi teman-teman dengan lagu-lagu saya adalah interaksi yang membawa bahagia, walau hanya sedikit.
“Bakat yang ada pada saya akan terasa lebih bermakna jika lagu-lagu itu juga tumbuh bermakna di hati pendengar.
“Kita semua menjalani hidup dengan segala dinamikanya. Semoga kita semua selalu dekat dengan rasa tenteram dan kebahagiaan,” ujarnya.
Sementara itu, pada konsert RIF, Tulus membawakan lagu-lagu hitsnya seperti Interaksi, Satu Kali, Jatuh Suka, Monokrom, dan Lagu Untuk Matahari dan Hati-Hati Di Jalan.
Tulus juga menghiburkan peminat setianya dengan lagu-lagu wajib seperti Teman Hidup, Sewindu, Kisah Sebentar, Ingkar, Tukar Jiwa dan Tujuh Belas.