Abah memang seorang bapa luar biasa -Ziana Zain

Abah memang seorang bapa luar biasa -Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Penyanyi, Ziana Zain, menyifatkan Allahyarham bapanya, Zin @ Zain Abdullah, sebagai seorang lelaki yang luar biasa sepanjang hayatnya.

Ketika ditemui di kediaman keluarganya semalam, Ziana berkata arwah seorang suami dan bapa penyayang yang ringan tangan serta gemar membantu sesiapa sahaja.

“Abah memang seorang bapa yang luar biasa. Dia boleh memasak, menjahit, mengemas rumah, malah menyiapkan anak-anak. Semasa ibu dalam pantang, abah yang menjaga rumah, memandikan anak-anak, memasak, mengemop lantai, membasuh baju, semua dilakukan olehnya.

“Abah suka menjamu tetamu walaupun hanya dengan segelas air atau biskut kering. Dia suka menolong dan bersedekah.

“Rezekinya melimpah kerana sifat pemurah itu. Sebagai seorang polis, dia berkhidmat membantu ramai orang. Allah juga memudahkan akhir hayatnya dengan cara yang baik dan indah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, arwah juga menjadi tulang belakang dalam perjalanan seninya dan adik, Anuar Zain.

“Dari dulu lagi dia yang menemani, menjadi pengurus tak rasmi, memberi nasihat mengenai penampilan, malah menegur supaya sentiasa menjaga imej di depan peminat.

“Abah selalu pesan, ‘Peminat sokong kita, jadi kita kena bagi yang terbaik untuk mereka’,” katanya.

Ziana turut mengimbas memori bersama arwah, termasuk pengalaman menolak motosikal rosak ketika keluar membeli kain untuk baju persembahan.

“Saya masih ingat pengalaman menolak motor rosak atau melihat abah sibuk memastikan semua persiapan raya siap dari hujung rambut ke hujung kaki. Dia rajin, teliti, dan sangat penyayang. Abah juga seorang pengkritik tegas. Setiap kali kami ada konsert, dialah yang paling teruja.

“Tetapi dia juga selalu kata, ‘Abah sebenarnya tak boleh tengok kamu menyanyi. Abah sedih. Orang nampak kamu senang di pentas, tapi Abah tahu betapa susahnya kamu berusaha’.

“Kata-kata itu tersemat dalam ingatan kami. Dia faham pengorbanan kami mencari rezeki melalui seni. Kini, abah sudah tiada. Yang tinggal hanyalah doa dan kenangan.

” Tetapi kami bersyukur kerana dapat bersama-sama menjaganya hingga ke akhir hayat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Allahyarham Zin Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediaman keluarganya di Subang Permai, Selangor, sekitar jam 2.50 petang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina kira-kira jam 7 malam semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN