KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Suip mengesahkan telah bercerai talak satu dengan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 29 Mei lalu.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, berkata, biarpun perkahwinan mereka berakhir, dia memilih untuk menyerahkan hak penjagaan anak-anak kepada bekas isteri atas pertimbangan sebagai seorang bapa.
“Secara rasmi saya dan isteri sudah bercerai talak satu pada 29 Mei. Buat masa ini, anak-anak berada di bawah jagaan bekas isteri kerana pada saya, secara rasionalnya, ibu adalah tempat paling sesuai untuk anak-anak berlindung.
“Saya tidak mahu bertelagah soal hak penjagaan kerana jika mahu berkeras, perkara ini tidak akan pernah selesai,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama media di Bienz, Wangsa Maju di sini, semalam.
Selain itu, Juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu menzahirkan bahawa hubungannya dengan bekas isteri kekal baik demi urusan anak-anak meskipun kini menetap di Kuching, Sarawak.
Jelasnya, dia berusaha sedaya upaya untuk tidak menambah kerumitan dalam soal pengurusan anak-anak dan memilih untuk menyelesaikan segalanya secara damai.
“Kalau nak kata saya tak rindu anak, itu mustahil. Setiap hari saya fikirkan mereka, rasa nak telefon tapi faham mereka juga ada komitmen belajar dan rutin harian masing-masing.
“Saya dan bekas isteri masih berbincang bagaimana untuk saya bertemu anak-anak, mungkin sebulan sekali saya akan ke Kuala Lumpur.
“Saya tak mahu menimbulkan masalah lagi. Cukuplah dengan turun naik mahkamah sebelum ini. Penat,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu hit Awan Nano ini turut menegaskan bahawa dia tidak pernah menyesali apa yang berlaku dalam rumah tangganya.
Sebaliknya, kata Hafiz, dia menerima segalanya sebagai takdir yang membentuk kematangan diri.
“Saya reda. Ini semua ujian yang memberi pengalaman dan pengajaran dalam hidup. Kalau kita asyik menyalahkan satu sama lain, hati tidak akan tenang.
“Islam mengajar kita untuk berdamai dengan takdir. Jadi kalau mahu berkahwin, kena fikir betul-betul dan bersikap matang,” katanya.
Untuk rekod, Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 Mei 2016.
Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.