KUALA LUMPUR : Lebih 300 ekor kucing di Cat Tiram Shelter menerima manfaat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan Purr-fect Care Si Comot by Powercat yang berlangsung meriah di sini, hari ini.
Program tersebut dianjurkan bagi memberi sokongan kepada pusat perlindungan haiwan yang diuruskan oleh Tuan Haji Nor Azhar Abdul Hamid.
Ia turut mendapat kerjasama pelajar dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang membantu memasang permainan kucing serta menyusun dan mengagihkan stok makanan yang disumbangkan.
Difahamkan, Pengurus Besar Cawangan Johor Adabi, Zainuddin Salleh, bersama 10 kakitangan syarikat itu turut turun padang menjayakan aktiviti.
Beliau berkata, penyertaan Adabi adalah tanda sokongan terhadap usaha Powercat membantu komuniti pencinta haiwan.
“Pihak Adabi berbesar hati dapat melibatkan diri bersama team Powercat untuk menjayakan program CSR ini.
“Kami turut menyediakan sarapan pagi menggunakan produk-produk Adabi seperti Kari Sardin Adabi Sandwich, bagi memberikan tenaga dan makanan kepada semua yang terlibat dalam aktiviti hari ini,” katanya.
Selain itu, kakitangan Adabi turut memasak dan menyajikan makanan sebagai tanda penghargaan kepada sukarelawan, peserta dan tetamu yang hadir.
Turut memeriahkan program ialah Wakil Powercat, Lina, bersama pasukannya yang komited menjayakan acara dari awal hingga akhir.
Pempengaruh media sosial terkenal, Faizdickie, turut hadir dan merakamkan detik istimewa untuk episod khas YouTube Si Comot Powercat.
“Terima kasih Powercat kerana menjemput saya untuk turut serta dalam CSR ini. Saya memang suka kucing dan sebelum ini saya juga aktif dalam CSR membantu kucing jalanan.
“Acara sebegini diharap dapat memberi contoh kepada mana-mana pihak untuk turut menyumbang kepada pelbagai pusat perlindungan kucing yang memerlukan,” ujarnya.
Menariknya, dua ‘influencer’ kucing terkenal di media sosial iaitu Micheal, Tam, Ticha dan Sorayya the Diva Cat turut menjadi tarikan pengunjung dengan gelagat dan kecomelan mereka, sekali gus membantu menarik perhatian komuniti pencinta kucing terhadap mesej utama program ini.
Sementara itu, pemilik Cat Tiram Shelter, Nor Azhar turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan diterima.
“Saya sangat berbesar hati Powercat memilih shelter kami dalam program CSR kali ini. Tiada apa yang dapat saya gambarkan, cuma kegembiraan dan rasa syukur atas sumbangan ini.
“Makanan kucing ini dapat membantu meringankan beban kami di pusat ini. Kami sangat berterima kasih kepada Powercat,” katanya.










