KUALA LUMPUR : Bergelar juri The Ascott Star Rewards Festival 2025, penyanyi, Naqiu, 39, mengakui keutamaan yang dicari pada peserta terpilih adalah elemen keunikan dan faktor X sebagai seorang penghibur.
Menurut Naqiu, faktor itu jarang ditemui pada mana-mana program pertandingan nyanyian yang membawa kepada lambakan penyanyi yang tidak mempunyai identiti tersendiri.
“Saya rasa, corak untuk artis baharu sekarang sudah mula berulang. Jadi saya nak cari sesuatu yang unik.
“Maksudnya, kita masih lagi kurang pelapis penyanyi yang ada faktor X. Kebanyakannya nak meniru artis sedia ada. Jadi saya cari sesuatu yang unik dan tidak pernah ditemui lagi,”katanya.
Naqiu berkata demikian di majlis pelancaran The Ascott Star Rewards Festival 2025 di pusat membeli belah Mytown, di sini, hari ini.
Selain itu, vokalis kumpulan Boboi itu berkata, ini bukan kali pertama dia bergelar juri pertandingan nyanyian.
Disebabkan itu, katanya, dia dapat melihat wujudnya lambakan penyanyi yang tiada keaslian dan identiti sebagai penghibur yang berbakat besar.
“Kebanyakannya nak jadi macam ratu rock kita, Ella, Datuk Awie atau Azlan Typewritter. Jadi saya tak nak ada dua atau tiga penyanyi sebegitu sebab kita sudah ada dalam industri.
“Jadi saya tekankan untuk mencari penyanyi yang jarang kita jumpa dari segi bakat nyanyiannya,”katanya.
Selain itu, Naqiu juga menasihatkan mana-mana bakat baharu yang ingin memasuki pertandingan, supaya membuang mentaliti dan kecenderungan untuk hanya membawakan lagu bernada tinggi.
“Jangan ada mentaliti yang mana hendak menyanyi karaoke atau pertandingan, mesti lagu bernada tinggi. Kadang-kadang lagu yang rendah pun boleh jadi tarikan.
“Saya rasa perlu ada perubahan seperti itu. Saya pun tak mahu dengar orang menyanyi seperti saya sebab saya pun dah dengar suara saya sendiri berpuluh tahun,”katanya.
Dalam perkembangan lain, buat pertama kalinya syarikat rakaman Sony Music Malaysia bakal menganjurkan persembahan muzik secara langsung dan pencarian bakat yang menampilkan artis-artis tempatan popular termasuk Vanessa Reynauld, Yulia, dan ramai lagi.
Selain Naqiu, turut dipilih sebagai juri bagi mengadili pertandingan karaoke di acara The Ascott Star Rewards Festival 2025 ini ialah Ara Johari dan Khai Bahar.
Selain itu, pertandingan ini telah mendapat penyertaan seramai 250 peserta.
Pertandingan ini turut dibuka kepada semua yang berminat dan setiap peserta berpeluang untuk merebut tawaran menjadi artis rakaman Sony Music Malaysia.
Dianjurkan oleh Ascott Malaysia, festival ini berlangsung pada 24 hingga 27 Julai 2025, pukup 10 pagi hingga 9.30 malam.