Konsert Rockology diteruskan, jangan percaya cakap-cakap kosong - Awie - Utusan Malaysia

Konsert Rockology diteruskan, jangan percaya cakap-cakap kosong – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi rock terkemuka tanah air, Datuk Awie, menegaskan, penganjuran Rockology Concert Tour 2025 tetap akan diteruskan pada 5 Julai ini di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor, seperti yang telah dirancang awal.

Menurut Awie, kenyataan ini sekali gus menepis khabar angin bahawa kononnya konsert tersebut telah dibatalkan.

“Sejak beberapa hari lalu, terdapat khabar angin di media sosial yang menyatakan konsert kami di Johor akan dibatalkan. Kami ingin menafikan dakwaan tersebut secara rasmi.

“Segala persiapan berjalan lancar dan pihak kami sedang giat menjalankan kerja-kerja akhir bersama pihak teknikal dan keselamatan.

“Saya rasa ramai yang tak sabar nak hidupkan malam rock itu dan nak kembalikan nostalgia 80-an dan 90-an di Johor bersama kami nanti,”katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelas Awie lagi, pihaknya menjanjikan sebuah persembahan yang menarik demi menghiburkan peminat yang hadir kelak.

“Walau apa pun yang berlaku kami tetap akan gegarkan EduCity seperti yang dijanjikan. InsyaAllah, jangan percaya cakap-cakap kosong.

“Jumpa kami di Rockology pada 5 Julai nanti, bawa semangat rock itu sekali, kita nyanyi sama sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah RPM Events Sdn Bhd, Datuk Eddy berkata, konsert ini bakal menyatukan dua nama besar dalam sejarah muzik rock tanah air iaitu Datuk Awie dan Search (Kid Din) dalam satu persembahan eksklusif yang bakal menggegarkan selatan tanah air.

“Kami menjemput seluruh peminat rock tanah air untuk hadir dan menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini.

“Rockology bukan sekadar konsert, ia adalah gerakan untuk menghidupkan semula semangat rock sejati.

“Kami komited untuk memberikan pengalaman konsert yang luar biasa dan kami ingin merakamkan penghargaan atas kepercayaan serta sokongan daripada semua pihak, termasuk peminat dan para penaja,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN