Jangan jolok sarang tebuan, saya memang lantang - Uyaina Arshad - Utusan Malaysia

Jangan jolok sarang tebuan, saya memang lantang – Uyaina Arshad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, 32, membidas segelintir warganet yang gemar melemparkan tohmahan dan kata-kata kesat terhadap dirinya di media sosial.

Menerusi satu hantaran video di akaun media sosialnya, Uyaina menyifatkan tindakan sesetengah individu yang menuduh dan mengata secara berjemaah sebagai budaya yang tidak beradab dan tidak sihat apatah lagi jika dilakukan tanpa usul periksa.

“Saya bersyukur kerana masih ramai yang rasional dan beradab. Mereka tahu bahawa budaya mengumpat, mengutuk dan menghina orang lain itu tidak sepatutnya menjadi norma dalam masyarakat kita. Good job, guys,” katanya.

Selain itu, Uyaina menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengulas isu rumah tangga selebriti lain atau menjadikan individu tertentu sebagai sasaran.

Malah, Uyaina berkata, lazimnya, dia sememangnya lantang bersuara hanya untuk isu-isu yang membawa manfaat kepada masyarakat.

“Saya memang lantang dan saya ada pendirian. Saya tahu apa yang saya perjuangkan. Bila saya bersuara tentang gangguan seksual, pengantunan seksual kanak-kanak, isu Palestin ataupun kes buli siber, itu semua kerana saya tahu ia melibatkan kepentingan awam.

“Saya tidak kisah digelar terpaling atau terlalu vokal kerana menjadi lantang bukan satu kesalahan jika ia digunakan untuk memperjuangkan kebenaran,”ujarnya.

Mengulas lanjut, Uyaina mengakui terkejut apabila namanya tiba-tiba disebut dalam satu perbincangan di media sosial yang disifatkannya sebagai ‘thread mengumpat beramai-ramai’.

“Saya terkejut dan terkilan. Saya tak kacau orang pun. Tiba-tiba nama saya naik. Seronok sangat ke bila ramai-ramai mengata dan menghina orang lain? Sedih sangat bila saya baca.

“Kenapa awak pergi jolok sarang tebuan? Awak tak tahu ke saya ni bukan sekadar tebuan, saya ini harimau tau. Dan hanya suami saya sahaja yang boleh jinakkan saya,” selorohnya.

Dalam pada itu, Uyaina juga menyeru agar mana-mana individu yang menjadi mangsa buli siber supaya tidak terus membisu apabila diserang.

“Ada orang kata abaikan sahaja, tapi bila reputasi kita tercemar dan orang pandang kita negatif, kita kena bangkit. Jangan diam.

“Awak perlu bersuara untuk diri sendiri sebab jika tidak, tiada siapa akan lakukannya untuk awak,”katanya.

Terdahulu, Uyaina, tampil menegur segelintir netizen yang didakwanya suka mengumpat dan menyebarkan fitnah secara terbuka di media sosial.

Menurut Uyaina, beberapa individu yang meninggalkan komen berbaur sindiran dan tohmahan terhadapnya bertindak memadam komen serta menyahaktifkan akaun masing-masing selepas dia menegur perbuatan itu secara terbuka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN