KUALA LUMPUR : Tular beberapa keping gambar persis dirinya bak pengantin baharu, selebriti media sosial dan penyanyi, Ira Kazar, mengakui perkara itu tidak benar.
Turut terkejut kerana ada kalangan warganet menyangka dirinya berkahwin, Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, bagaimanapun menepis tanggapan itu dengan ringkas.
“Belum hendak berkahwin lagi. Kalau nak kahwin nanti, perkara itu akan terjadi tiba-tiba sahaja nanti. Kiranya ‘eh, tiba-tiba kahwin’.
“Sebenarnya, gambar-gambar itu adalah ketika saya bekerja untuk memperagakan busana dan solekan untuk sesi fotografi kanvas pengantin. Itu sahaja,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dirinya kini sudah mempunyai kekasih atau calon suami, bekas isteri kepada pengarah tersohor, Syamsul Yusof, itu bagaimanapun enggan memberikan jawapan.
Terdahulu, Ira memuat hantaran semula di Instagram yang memaparkan dirinya berbusana dan bersolek bak pengantin sehingga menimbulkan pertanyaan ramai.
Hantaran itu terlebih dahulu dimuat naik oleh seorang jurusolek yang dikenali sebagai Fatimah Jamal.
“Setiap sisi wajah Ira Kazar sangat sempurna. Sumpah dia amat cantik, tapi rasa macam tak puas nak solekkan dia,” tulisnya.
Sementara itu, di ruangan komen, Ira mendapat banyak pujian untuk hantaran tersebut daripada pengikutnya.
Sebelum ini, perkahwinan Ira dan Syamsul yang berlangsung secara tertutup di Selatan Thailand pada 6 Januari 2023 pernah menjadi tumpuan ramai.
Bagaimanapun, rumah tangga mereka akhirnya terlerai apabila mahkamah mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dibuat oleh Syamsul terhadap Ira.
Pada 5 September tahun lalu, mahkamah mengesahkan pasangan tersebut tidak lagi bergelar suami isteri.