Disindir rakan artis, mustahil saya tak terasa - Saidah - Utusan Malaysia

Disindir rakan artis, mustahil saya tak terasa – Saidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Saidah Kamarudin, 29, memilih untuk tidak melayan sindiran segelintir rakan seindustri berhubung kemelut peribadinya yang menjadi perhatian umum sejak beberapa bulan lalu.

Saidah yang ditemui ketika menghadiri Malaysia Bridal Fashion Week 2025 di ibu negara baru-baru ini, mengakui ada antara komen dan sindiran yang sedikit sebanyak menyentuh perasaannya namun enggan memanjangkan perkara berkenaan demi menjaga keharmonian dalam industri seni.

“Siapa yang tak terasa bila kena sindir, tapi saya fikir industri ini kecil sahaja. Lambat-laun kita akan bertemu juga.

“Jadi saya ambil pendekatan untuk tidak membesarkan hal ini dan teruskan hidup seperti biasa,” katanya.

Mengulas lanjut, bintang drama bersiri Rajuk Karina itu menjelaskan bahawa ramai yang menilai berdasarkan cerita separuh jalan tanpa mengetahui keseluruhan kebenaran yang berlaku antara dirinya dengan bekas tunang, aktor Muntazar Ghufran.

“Saya tak ambil hati sebab mereka tak tahu cerita sebenar. Kalau saya di tempat mereka pun, mungkin akan fikir perkara yang sama.

“Setakat ini, saya sudah lantik peguam. Jika ada apa-apa perkembangan, boleh terus rujuk kepada mereka. Saya sendiri pun sudah ‘move on’, jadi tak mahu ulas lebih panjang,” jelasnya.

Mengakui sempat melalui fasa trauma akibat episod peribadi yang tular dan menjadi perbualan hangat di media sosial, Saidah kini mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memberi perhatian terhadap komen-komen negatif yang dilemparkan terhadap dirinya.

“Memang trauma itu ada, tapi saya pilih untuk tidak terlalu ambil tahu tentang komen di media sosial.

“Saya teruskan hidup macam biasa kerana tak semua orang tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Tambah Saidah, tumpuannya kini lebih terarah kepada kerjaya dan berharap kontroversi tersebut tidak menjejaskan rezekinya dalam bidang lakonan.

Terdahulu, pada Jun lalu, nama Saidah kembali hangat diperkatakan selepas mendakwa bekas tunangnya hanya mempunyai RM500 dalam akaun bank ketika mereka masih bersama, sekali gus menyifatkan Muntazar tidak layak untuk mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, Muntazar tampil menafikan dakwaan itu dengan menyatakan dia memiliki simpanan dalam bentuk pelaburan dan tidak meletakkannya dalam akaun simpanan biasa.

Untuk rekod, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 5 Mei 2024 selepas lebih setahun berkenalan.

Namun mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing sejak Oktober 2024 dan mengumumkan perpisahan mereka secara rasmi pada Mac lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN