Berlari, scuba diving beri peluang untuk saya reset fikiran - Wany Hasrita - Utusan Malaysia

Berlari, scuba diving beri peluang untuk saya reset fikiran – Wany Hasrita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam kesibukan menguruskan rumah tangga dan fokus membesarkan puteri kesayangannya, Aishah Al Iman, siapa sangka penyanyi lemah lembut, Wany Hasrita tetap aktif melakukan aktiviti kegemarannya iaitu berlari dan menyelam atau ‘scuba diving’.

Menurut Wany, kedua-dua aktiviti itu baru sahaja menjadi rutin tambahan dalam kehidupan sehariannya lebih-lebih lagi selepas mempunyai kesedaran untuk menjaga kesihatan diri tatkala usia semakin meningkat.

“Hobi saya ialah berlari dan ‘scuba diving’. Sebenarnya, hobi ini baru lagi cuma sebelum ini, saya tidak terfikir untuk mencuba. Tetapi sekarang saya sudah mula rasa seronok dan puas hati dengan aktiviti ini.

“Untuk menyelam saya sudah aktif lakukannya sejak tahun lalu, manakala berlari saya baru amalkan beberapa bulan selepas sedar stamina saya semakin berkurangan sejak usia meningkat. Saya harap dapat terus konsisten dengan hobi ini,” katanya kepada Pancaindera.

Wany atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, kedua-dua aktiviti kegemarannya ini sangat membantu dirinya dari segi kesihatan dan penjagaan pernafasan sebagai seorang penyanyi.

“Saya minat berlari sebab banyak membantu saya dari segi stamina dan teknik pernafasan, yang sangat penting dalam kerjaya saya.

“Selain menjaga kesihatan, berlari juga memberi ruang untuk saya tenangkan fikiran dan lari dari dunia realiti seketika. Sama juga seperti menyelam, kita dapat lihat keindahan kehidupan bawah laut,” jelasnya.

Tambah Wany, berlari dan scuba diving juga membantunya mengekalkan kestabilan mental dan emosi setelah dihimpit dengan pelbagai kekusutan ketika bekerja.

“Dalam dunia pekerjaan, kita sering terdedah kepada tekanan dan stres. Jadi, berlari memberi saya peluang untuk ‘reset’ fikiran dan melupakan seketika segala kekusutan.

“Untuk hobi scuba diving pula, biasanya saya dan suami akan mengambil masa dalam beberapa hari untuk bercuti dan pergi melakukan aktiviti itu bersama secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan,” ceritanya.

Sempat berkongsi rutin dirinya membahagikan masa untuk kedua-dua aktiviti tersebut, penyanyi lagu Menahan Rindu itu mengakui segalanya bergantung pada jadual hariannya.

“Saya lebih suka melakukan aktiviti berlari pada waktu pagi sebelum memulakan hari. Kebanyakan undangan nyanyian yang saya terima biasanya berlangsung pada waktu tengah hari hingga malam, jadi jadual tersebut sebenarnya tidak mengganggu rutin saya.

“Dengan cara ini, saya dapat menjaga kecergasan dan tetap fokus pada latihan vokal tanpa ada kekangan masa. Untuk scuba diving pula setahun lebih kurang dua kali pergi,” kongsinya.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya untuk melakukan kedua-dua aktiviti tersebut, penyanyi berusia 33 tahun itu mengakui sukar untuk mengekalkan konsistensi disebabkan beberapa faktor.

“Perkara paling mencabar bagi saya adalah untuk kekal konsisten. Perkara ini bergantung kepada beberapa faktor seperti cuaca dan motivasi diri.

“Kadang-kadang ada hari cuacanya cantik saja, jadual kerja pun tidak mengganggu waktu untuk saya melakukan aktiviti tersebut. Tetapi, semangat itu sukar untuk dicari,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN