KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Elinnea, 26, menyifatkan isu bau badan dalam kalangan pelakon sebagai satu perkara biasa, terutama ketika menjalani penggambaran di set ( outdoor) dalam keadaan cuaca panas.
Menurut Scha, situasi seperti itu memang berlaku di set penggambaran dan sukar untuk dielakkan.
Namun katanya, sebagai pelakon, perkara itu perlu ditangani secara profesional.
“Bau badan ini perkara biasa. Kadang-kadang kita shoot di luar, cuaca panas. Memang akan ada bau.
“Tapi kita tak boleh nak tegur sesuka hati, itu sensitif,” katanya.
Selain itu, Scha mengakui pernah berdepan dengan situasi tersebut, namun memilih untuk tidak menegur secara langsung kerana bimbang menyinggung perasaan orang lain.
“Saya biasanya tutup hidung atau buat tak tahu sahaja dan teruskan kerja. Nak tegur pun bukan senang, takut orang terasa hati.
“Jadi saya pilih untuk diam dan fokus pada kerja lakonan,” jelasnya.
Scha juga berkata, tidak semua orang boleh menerima teguran, lebih-lebih lagi berkaitan hal peribadi seperti kebersihan diri.
“Ada orang okey kalau ditegur, tapi ada yang akan kecil hati. Kita pun tak tahu siapa boleh terima, siapa tak boleh.
“Kalau saya terlalu fikir pasal bau badan orang, saya tak boleh fokus pada lakonan. Saya datang ke set ini nak bekerja, jadi saya pilih untuk tumpu pada kerja saya,” ujarnya.
Bagaimanapun, berbicara mengenai penjagaan diri, Scha berkata, dia seorang yang sentiasa menjaga kebersihan dan memastikan dirinya berbau wangi.
“Saya selalu pakai wangian dari atas sampai bawah setiap kali tukar baju. Saya takut orang tak selesa dengan saya.
“Jadi saya jaga kebersihan sebaik mungkin. Tetapi mengenai isu ini bagi saya tak perlu diperkatakan sangat sebab manusia tak sempurna.
“Kalau ada bau badan pun, kita kena faham. Yang penting kita fokus pada hasil kerja,” katanya lagi.
Baru-baru ini, seorang pelakon membangkitkan isu rakan artis yang didakwa tidak menjaga kebersihan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa di set penggambaran.
Isu itu kemudiannya menjadi perbualan hangat netizen dan warga industri seni.