KUALA LUMPUR: Meskipun bapanya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini berdepan isu perundangan melibatkan jumlah wang tunai melebihi RM169 juta, penyanyi, Dafi, bagaimanapun kekal tenang dan enggan melibatkan diri dalam sebarang perbincangan berkaitan politik.
Menurut Dafi, 37, sejak awal kemunculannya dalam industri hiburan, dia sentiasa mengambil pendekatan berkecuali dalam hal ehwal politik selain menegaskan bahawa isu berkaitan bapanya tidak memberi kesan secara langsung terhadap dirinya.
Malah, Dafi berkata, dia bersyukur kerana pendiriannya itu terus dihormati oleh masyarakat sehingga ke hari ini.
“Saya harap semuanya dapat diselesaikan dengan baik dan tenang. Harapnya keadaan akan kembali seperti sediakala. Secara jujurnya, saya tidak terkesan pun.
“Saya berterima kasih kepada orang ramai di luar sana kerana masih menghormati pendirian saya dan memahami bahawa itu merupakan urusan kerja ayah saya. Saya pula ada kerjaya sendiri,” katanya.
Dafi berkata demikian semasa ditemui di Studio Village, di sini, semalam.
Selain itu, penyanyi lagu Bila Terasa Rindu itu turut menegaskan bahawa tidak wajar untuk dirinya mengulas sesuatu perkara di luar bidangnya.
“Saya memang tidak pernah komen, malah boleh dikira jarang bercakap soal politik. Saya sedar diri bahawa bidang itu bukan untuk saya, jadi siapa saya untuk memberikan pandangan?
“Apabila sesuatu perkara berlaku pun, ia tidak membebankan saya sepenuhnya kerana orang sudah mula faham dan menghormati keputusan saya yang enggan terbabit dalam perbualan politik.
“Saya tidak gemar bercakap tentang hal yang saya sendiri tidak mahir,” ujarnya.
Dafi turut berkongsi bahawa keluarganya juga tidak banyak berbicara mengenai soal kerja di rumah.
Bahkan, dia sendiri mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri urusan kerjaya bapanya namun tetap memberikan sokongan sebagai seorang anak.
“Apa-apa pun, saya sebagai anak tetap memberi sokongan kepadanya. Itu sahaja peranan saya.
“Dia juga tidak pernah menghalang saya untuk bersuara, tetapi saya sendiri memilih untuk tidak melibatkan diri,” katanya lagi.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai milik Ismail Sabri berjumlah lebih RM169 juta yang melibatkan pelbagai mata wang tempatan dan asing.