Amir Raja Lawak rayu stesen tv lunaskan tunggakan bayaran RM18,000 - Utusan Malaysia

Amir Raja Lawak rayu stesen tv lunaskan tunggakan bayaran RM18,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak, Amir Raja Lawak meluahkan rasa kecewa apabila sebuah stesen televisyen masih gagal melunaskan tunggakan bayaran berjumlah RM18,000 kepadanya sejak tiga tahun lalu.

Menurut Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, jumlah keseluruhan bayaran yang sepatutnya diterima daripada stesen berkenaan adalah sebanyak RM23,000, namun dia hanya menerima sebahagian kecil iaitu RM5,000 pada awal tahun lalu.

Jelasnya, dia sebelum ini memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu menimbulkan sebarang isu atau ketegangan, namun terpaksa mendedahkan perkara itu demi mendapatkan haknya.

“Saya dahulukan dengan mohon ampun dan maaf jika ada yang tidak selesa dengan hantaran saya ini. Saya sememangnya mahu elak bercakap tentang benda ini, tapi kali ini saya kena beritahu juga, sekurang-kurangnya dapat saya lepaskan apa yang dipendam.

“Saya kalau tidak perlukan duit itu untuk beli apa-apa, tak adalah saya minta pun sebenarnya. Saya beri sahaja mereka masa sebagaimana beberapa tahun sebab kerja sudah selesai, tapi bayaran belum dilunaskan sepenuhnya.

“Untuk kali ini memang saya nak pakai duit itu, mereka pun tahu alasan dan sebab yang sangat penting yang saya sudah beritahu. Siap tunjuk bukti bergambar untuk meyakinkan mereka bahawasanya saya tak menipu.

“Apa alasan dan sebab yang saya tunjukkan pada mereka? Yang ini biar Allah, dan kami sahaja yang tahu. Lagi pun saya memang tak suka kongsikan benda-benda macam itu, biarlah orang sekeliling dan awak semua tengok saya seperti tidak ada apa-apa sedang saya hadapi,”katanya.

Tambah Amir lagi, turut mendedahkan dia ada bertemu wakil stesen televisyen tersebut di ibu negara bulan lalu untuk berbincang dan bersetuju menerima bayaran secara ansuran.

Namun, katanya, selepas pertemuan tersebut, berlaku sesuatu yang menyebabkan dia terpaksa memohon agar sebahagian jumlah dibayar dengan segera berikutan keperluan mendesak yang tidak dapat dielakkan.

“Walaupun tidak dapat semua, boleh saja mereka bayar secara logik, mengikut bukti dan sebab yang saya sudah berikan kepada mereka.

“Saya pun bukan individu yang suka mencetuskan isu atau konflik dan tidak pernah terlibat dalam sebarang kontroversi sepanjang pembabitannya dalam dunia seni.

“Saya bukan nak pinjam duit pun, saya memang tidak ajar diri berhutang dan juga memberi hutang. Apa pun, sekarang saya cuma nak duit saya sahaja.

“Saya akan terus kemas kini perkembangan ini sehinggalah ada berita baik daripada pihak mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN