ALPHA bukan sekadar boyband biasa - Utusan Malaysia

ALPHA bukan sekadar boyband biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan fenomena menerusi kemunculan sulung mereka dengan single Mona Lisa (Bang Bang), kumpulan ALPHA kini tampil dengan karya terbaharu berjudul P. Ramlee & Saloma, sekali gus membuktikan mereka bukan sekadar ‘produk realiti’ biasa.

Lagu terbitan penuh Rocketfuel Entertainment ini merupakan hasil kolaborasi tiga komposer muda berbakat besar iaitu Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE.

Kali ini, ALPHA mempertaruhkan kelainan menerusi balada emosi yang menyentuh jiwa ,jauh berbeza daripada irama rancak penuh tenaga dalam single sulung mereka sebelum ini.

Terdiri daripada tujuh anak muda iaitu Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA hadir dengan gaya, suara dan latar belakang tersendiri.

Menurut Rocketfuel, karya ini bukan sekadar lanjutan kepada pengenalan muzik ALPHA, sebaliknya ia membawa mesej lebih besar iaitu sebagai manifesto artistik kumpulan tersebut yang berani mencabar norma muzik arus perdana dan tampil dengan identiti tersendiri.

“Kami mahu buktikan ALPHA bukan sekadar boyband biasa. Lagu ini mewakili sisi matang dan emosi kami sebagai penghibur dan insan,” jelas Daniel, mewakili kumpulan itu.

Penubuhan ALPHA bukanlah hasil kebetulan, sebaliknya ia lahir dari proses pencarian teliti menerusi program realiti Big Stage Alpha, sebuah kesinambungan kepada Big Stage, namun dengan fokus eksklusif kepada peserta lelaki dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Sebanyak 18 peserta berumur antara 18 hingga 37 tahun dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia menyertai program tersebut.

Mereka diuji selama lapan minggu dalam pelbagai cabaran vokal, persembahan, stamina serta daya tahan mental , diadili oleh barisan juri berpengalaman seperti Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini.

Daripada ratusan yang hadir mencuba nasib, hanya tujuh bintang paling menyerlah disatukan dalam satu kumpulan yang kini dikenali sebagai ALPHA.

Pemilihan nama ALPHA bukan sekadar simbolik, tetapi membawa maksud mendalam, mewakili permulaan, kekuatan, dan kepimpinan.

Dalam konteks ini, ALPHA menyasarkan untuk menjadi pemimpin kepada gelombang muzik baharu dari Asia Tenggara yang bertaraf antarabangsa.

Mereka hadir bukan sekadar mahu mencipta populariti semata-mata, sebaliknya membawa misi untuk mengetengahkan muzik serantau dengan suntikan moden, berkualiti dan bersifat global.

“Kami mahu bawa muzik yang boleh dibanggakan rakyat Asia Tenggara – bukan sekadar tiru gaya luar, tetapi angkat identiti kita sendiri,” kata Izat, anggota termuda kumpulan tersebut.

Single pertama mereka, Mona Lisa (Bang Bang), yang dilancarkan pada 6 Julai lalu mendapat sambutan luar biasa dengan mencatat lebih 250,000 tontonan di YouTube dalam tempoh singkat.

Lagu pop moden yang disuntik elemen K-pop itu adalah hasil ciptaan Justin Seow, Kuizz, James Chaw, Sean Lew, Roland Lim Shi Jie, Tyler Sarfert dan Prem Anand.

Lagu tersebut bukan sahaja memperkenalkan wajah-wajah anggota ALPHA kepada khalayak, malah membuktikan kemampuan mereka membawa genre antarabangsa dengan gaya tersendiri.

Single kedua P. Ramlee & Saloma kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Muzik video rasmi lagu ini turut bakal dilancarkan tidak lama lagi di saluran YouTube rasmi RocketFuelNetwork.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN