PTPTN tawar peluang struktur semula pinjaman hingga 15 Disember ini

PTPTN tawar peluang struktur semula pinjaman hingga 15 Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan peluang kepada peminjam yang mempunyai tunggakan untuk menstruktur semula pinjaman mereka mengikut kemampuan kewangan masing-masing melalui Kempen Lestari Pendidikan bermula 15 Oktober hingga 15 Disember ini.

Menurut PTPTN, kempen berkenaan terbuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah yang mempunyai tunggakan sekurang-kurangnya RM500, sebagai inisiatif strategik PTPTN di bawah kempen #PTPTNBolehBincang bagi membantu meringankan beban bayaran balik pinjaman.

Katanya, peminjam hanya perlu membuat bayaran pendahuluan sebanyak 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500 (mengikut jumlah yang lebih tinggi) sebelum memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.

“Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstruktur semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman dalam tempoh kempen.

“Kaedah ini membolehkan peminjam menyusun semula Jadual Bayaran Balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PTPTN berkata, Kempen Lestari Pendidikan bukan sahaja memberi ruang kepada peminjam untuk menyusun semula komitmen kewangan, malah bertujuan memastikan kelestarian dana pinjaman pendidikan agar terus dimanfaatkan oleh generasi pelajar akan datang.

“Peminjam boleh berunding untuk pelan pembayaran fleksibel mengikut kemampuan mereka. PTPTN bukan sahaja memberi kelonggaran, tetapi juga memastikan dana pendidikan kekal lestari.

“Bagi memudahkan urusan bayaran balik, peminjam digalakkan membuat ansuran melalui potongan gaji atau debit terus (direct debit) bagi memastikan kelancaran proses pembayaran serta menikmati insentif penstrukturan semula pinjaman,” kata kenyataan itu.

Selain itu, PTPTN turut melaksanakan pendekatan proaktif melalui inisiatif #PTPTNSediaBantu dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat untuk kemudahan pelanggan.

Bagi menggalakkan bayaran balik dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, Bulan Mesra Pelanggan PTPTN turut diadakan serentak di semua Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan seluruh negara bermula 1 November hingga 15 Disember ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×