Tiada layanan istimewa walaupun saya anak Ahmad Idham

Tiada layanan istimewa walaupun saya anak Ahmad Idham – Aydeel Idham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pelakon, Aydeel Idham mengakui dirinya tidak menerima sebarang layanan istimewa meskipun terlibat dalam naskhah layar perak arahan bapanya, Dr Ahmad Idham.

Menurut Aydeel, penglibatannya menerusi filem Impak Maksima 2 juga bukanlah alasan untuk dirinya membuat sambil lewa dalam menghasilkan karya terbaik untuk naskhah sutradara terkenal itu.

“Ini merupakan kemunculan pertama saya dalam filem dan melakonkan naskhah arahan bapa saya sendiri. Walaupun dia adalah bapa saya, layanannya terhadap kesemua pelakon tetap sama.

“Bapa saya seorang yang tegas dan garang di set penggambaran. Tiada layanan istimewa buat saya walaupun saya anak dia. Saya juga faham kehendaknya dan semua itu saya anggap sebagai kebaikan untuk mengangkat naskhah ini,” katanya.

Aydeel berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi temu bual bersama pelakon Impak Maksima 2 di APD Crew Circuit, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aydeel menganggap penglibatannya menerusi industri lakonan tanah air bukanlah jalan pintas buatnya hanya kerana gelaran ‘anak pengarah’.

Aydeel berkata, dia lebih selesa untuk memulakan kerjaya seninya daripada bawah dan melalui pelbagai sesi ujibakat demi menimba ilmu dan memperbaiki teknik lakonannya.

“Walaupun ayah saya sudah dikenali, tetapi saya lebih suka bermula daripada bawah. Pada saya, itu bukanlah jalan pintas untuk saya terjun ke dalam industri ini.

“Saya masih lagi pergi menjalani ujibakat. Ayah saya juga menyarankan perkara yang sama supaya dapat kenal warna sebenar dalam industri.

“Untuk terlibat dalam filem ini juga prosesnya tidak semudah yang disangka. Saya tetap perlu melalui ujibakat meskipun kekok untuk melakukannya di hadapan bapa sendiri,” ujarnya.

Selain Aydeel, filem arahan Ahmad Idham itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Nelissa Nizam dan Arfie Shah.

Impak Maksima 2 mengangkat kisah dunia permotoran dan kesinambungan daripada filem pertama yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa pada 2007.

Naskhah terbitan Screen Studio Sdn Bhd itu mengekalkan pelakon asal seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi dan Opie Zamie.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN