KUALA LUMPUR: Kerap melakonkan watak wanita simpanan, pelakon, Siti Hariesa, 27, mengakui dirinya tidak terlepas daripada menerima mesej dari ‘lelaki gatal’ di media sosial.
Menurut Hariesa, perkara itu berlaku di luar kawalannya namun, dia memilih untuk mengendahkan atau menyekat akaun lelaki yang mengganggunya.
“Saya memang ada menerima mesej daripada lelaki gatal. Tetapi, saya memilih untuk mengendahkannya dan menyekat saja akaun tersebut. Perkara itu pun berlaku di luar kawalan saya,” katanya.
Selain itu, pelakon drama bersiri Lambaian Huda ini turut menegaskan dirinya tidak terdesak untuk memiliki ‘sugar daddy’ atau ditaja oleh lelaki kaya demi hidup mewah.
Tambah Hariesa, dia juga enggan mengambil pusing dengan tanggapan orang luar memandangkan dirinya masih mampu untuk bekerja keras mencari hasil pendapatan sendiri.
“Saya ada duit sendiri. Jadi, saya tidak perlukan ‘sugar daddy’. Mereka yang tidak mengenali diri saya mungkin boleh bercakap macam-macam dan menuduh sesuka hati, tetapi saya tahu siapa diri saya.
“Saya tidak akan libatkan diri dengan perkara seperti itu,” katanya ketika ditemui pada sesi media Meet & Greet bersama pelakon drama Viu Lambaian Huda, baru-baru ini.
Mengulas mengenai wataknya sebagai Suzy menerusi drama Lambaian Huda, Hariesa berharap penonton tidak skeptikal terhadapnya sepanjang menjayakan karakter wanita yang bekerja di kelab malam dan menjadi ‘sugar baby’.
“Apa yang saya pamerkan dalam drama itu hanyalah sekadar lakonan kerana saya bukannya begitu di luar. Saya juga kurang selesa untuk berlakon watak sebegitu terutamanya babak perlu ‘melayan’ lelaki.
“Tetapi saya anggap ini sebagai satu cabaran buat saya kerana pada masa sama, watak Suzy juga mahu mendalami ilmu agama selepas mengenali jirannya yang juga seorang ustaz lakonan Hisyam Hamid,” katanya.
Hariesa bagaimanapun bersyukur kerana drama bersiri arahan Azri Izhar yang bakal melabuhkan tirai pada minggu ini meraih penerimaan positif dalam kalangan penonton.
Selain Hariesa, drama itu turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Hisyam Hamid, Fauzi Nawawi, Yuna Rahim, Fendi Bakry dan Elvina Chua.