KUALA LUMPUR : Pelakon, Zarif Ghazzi,21, mengakui masih terlalu hijau dalam dunia seni tanah air namun tidak menolak andai tercalon atau memenangi sebarang anugerah dalam industri ini.
Kata Zarif dalam rendah diri, dia masih perlu meneroka banyak lagi cabang seni lakon selain perlu meraih ilmu demi memantapkan profil kerjaya seninya.
“Kalau ada peluang untuk dapat pencalonan atau nama keluar dekat skrin besar bagi saya mantap juga.
“Tapi saya masih hijau di dalam industri untuk merangkul anugerah cuma kalau dah kata rezeki untuk saya dapat pastinya saya bersyukur.
“Sebab sekarang ni pun saya banyak lagi nak belajar, menjadi keutamaan saya untuk beri fokus kepada teknik lakonan saya untuk saya sampaikan kepada penonton yang menonton dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Zarif atau Zarif Farahi Effie Ghazzi meluahkan rasa syukur selepas menerima tawaran untuk memainkan watak utama dalam drama Abang Iman Minah Skuter.
“Saya rasa gembira sebab diberi kepercayaan untuk membawa watak utama yang tak pernah saya bawa pada masa sama saya rasa terharu untuk menggalas tanggungjawab ini.
“Sebenarnya ia memberi tekanan kepada saya sebab kita yang akan membawa cerita ini. Tapi saya percaya bila saya dah teliti ia tak akan susah untuk saya,” katanya.