Saya ada pesan pada Sufian, tolong jaga kelakuan - Luca Sickta - Utusan Malaysia

Saya ada pesan pada Sufian, tolong jaga kelakuan – Luca Sickta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer, Luca Sickta, 36, mengakui tidak berkecil hati apabila ada segelintir peminat menyamakan wajahnya dengan penyanyi lagu Di Matamu, Sufian Suhaimi.

Menurut Luca atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin, dia sedar perkara itu cuma satu gurauan dari kalangan peminat.

“Saya dengan Sufian memang berkawan. Jadi tak ada istilah tersinggung pun. Cuma saya ada pesan pada Sufian, tolong jaga kelakuan.

“Sebab kalau dia buat hal takut nanti terpalit. Tapi Alhamdulillah, dah kahwin dah dia sekarang,” selorohnya.

Luca berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Sidang Media Konsert Hype Republic di St Gilles Boulevard, di sini, semalam.

Selain itu, jelas Luca, dia juga pernah berhadapan dengan satu momen kekok ketika berada di sebuah restoran bersama Sufian tidak lama dahulu.

“Pernah sekali, saya dengan Sufian, kami makan sekali semeja. Kemudian orang ramai asyik tengok-tengok kami berdua. Mungkin mereka terfikir-fikir kenapa wajah lebih kurang sama agaknya.

“Saya okey sahaja dengan keadaan itu sebab sudah terbiasa. Kalau jarang jumpa itu tak apa. Tetapi kalau orang sekeliling kami, biasanya dah tahu dah mana satu kami.

“Mungkin dari cara dan imej kami yang berbeza. Tapi pernah sahaja ada pakcik tegur saya sebagai Sufian. Saya cakap sajalah, saya bukan dia,”katanya.

Terdahulu, Luca bersama rakannya, Kmy Kmo merupakan antara artis yang akan menjayakan Konsert Hype Republic pada 13 Disember ini.

Berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, konsert berkenaan akan menghimpunkan pelbagai genre popular dan kontemporari seperti EDM, hip-hop, pop, K-Pop, J-Pop, alt-indie dan banyak lagi.

Selain itu ia juga merupakan platform unik yang meraikan cita rasa muzik pelbagai lapisan peminat.

Antara barisan artis lain yang bakal menggegarkan pentas konsert berkenaan termasuk Luqman Podolski, Yonnyboii, Zynakal, Bunga, Zubir Khan, K.O.I, serta seorang lagi artis kejutan yang akan diumumkan kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN