KUALA LUMPUR : Lambakan konsert membabitkan artis tempatan dan luar negara kebelakangan ini bagaimanapun tidak menggugat hasrat kumpulan rock tanah air, Barbarik untuk meneruskan penganjuran Konsert Pentas Peluru Cokelat mengikut perancangan.
Bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun ini, vokalisnya, Mus, berkata, Barbarik menjanjikan satu persembahan berbeza buat peminat sebagai satu tanda penghargaan buat mereka yang telah membeli tiket.
“Tidak dinafikan sekarang ini banyak penganjuran konsert artis tanah air dan liar negara di sini. Justeru, ia sebenarnya beri cabaran kepada kami tentang bagaimana untuk meyakinkan peminat untuk membeli tiket persembahan kami.
“Mungkin ada yang beranggapan, konsert kami sama saja macam konsert-konsert lain. Tetapi apa yang kami boleh katakan, di Zepp ini kelak, sesuatu yang luar biasa akan kami persembahkan.
“Ini kerana kami faham benar bahawa peminat dan penonton tentunya mahukan kelainan dalam memastikan setiap wang yang dibelanjakan untuk tiket itu berbaloi,”katanya.
Mus berkata demikian semasa ditemui di Studio Anggun Menawan, Setapak, di sini, kelmarin.
Sementara itu, gitaris kumpulan tersebut, JoBranko berkata, Barbarik telah melakukan persediaan serapi mungkin demi melunaskan tugas mereka dengan baik pada konsert itu nanti.
Menurut Jo, dia yakin peminat dan penonton akan pulang dengan satu pengalaman berbeza selepas menyaksikan persembahan Barbarik pada malam itu kelak.
“Alhamdulillah persiapan daripada segi
persembahan pada malam konsert hampir 90
peratus siap.
“Insya-Allah peminat akan dihiburkan dengan persembahan yang mereka tidak pernah
tonton. la memang betul-betul konsert rock dan kami sudah bersedia untuk menghiburkan
penonton,” katanya.
Ditanya mengenai penjualan tiket, Jo meluahkan rasa syukur kerana konsert pada kali ini sekali lagi menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat.
“Alhamdulillah jualan tiket setakat ini sangat memberangsangkan. Ruangan VIP sudah habis terjual. Kami ingin fokus pada penjualan ruangan arena.
“Tiket yang tinggal adalah untuk kategori standing (berdiri). Barangkali kebanyakan peminat kami dalam kalangan yang sudah berusia jadi mereka lebih memilih di ruangan tempat duduk.
“Tapi takkan konsert rock kami nak buat semuanya untuk duduk. Jadi harap pada saat-saat akhir nanti tiket semua dapat dihabiskan,” katanya.
Selain Mus dan Jo, kumpulan Barbarik turut dianggotai oleh Ainol serta Rozaimi.
Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat bakal menyajikan lagu-lagu baharu kumpulan tersebut.
Menghangatkan lagi persembahan, konsert ini turut menampilkan gitaris undangan seperti Shah Slam, Ujang Tukimon, Karl Cromok dan Muzza.
Tiket konsert sudah mula dijual dan peminat boleh mendapatkan menerusi pembelian di laman web ilassotickets.com