SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 52, enggan berundur daripada tindakannya memfailkan perceraian terhadap suami, Dr Rushdi Ramli.
Perkara itu diakui Nora ketika ditemui pemberita di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, pagi ini.
Nora yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi tadi memberitahu, dia juga melantik kakak angkatnya, Rafeah Ariffin sebagai Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang akan mewakilinya.
“Setakat ini tak ada (tarik fail). Saya kekal dengan perancangan asal. Tapi, apapun saya serahkan kepada pihak mahkamah,” katanya.
Pada 12 Ogos tahun lalu, krisis rumah tangga Nora dan Rushdi menjadi topik hangat dalam laman sembang.
Perkongsian Nora dalam Instagram (IG) pada ketika itu yang memaparkan video Dr Rushdi melafazkan cerai terhadapnya, mengejutkan pelbagai pihak.
Rentetan itu, pelbagai dakwaan dilemparkan sehingga mendorong Nora memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April lalu.
Terdahulu pada akhir 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti di ibu negara.
Nora mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun, akibat serangan jantung. – UTUSAN