KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan menarik perhatian ramai apabila berkongsi nasihat kepada anak perempuannya, Aaishah Dhia Rana, supaya belajar memasak walaupun masih di usia muda.
Dalam satu video tular di media sosial, dia yang mesra disapa sebagai Che Ta, bersahaja menasihati dan memberi tunjuk ajar kepada Aaishah yang ketika itu sedang mencuba memasak di dapur.
Bagi Che Ta, walau setinggi mana pun tahap pendidikan seseorang perempuan, kemahiran di dapur tetap penting.
“Belajar tinggi mana pun tetap kena masuk dapur, Aaisyah. Kalau tengah malam, kalaulah kot dah jadi bini Perdana Menteri pun, kalau suami awak lapar, nak minta buat Maggi pun tak akan nak panggil mak awak,” selorohnya.
Selain itu, Che Ta juga menekankan pentingnya wanita untuk berdikari dari segi kewangan walaupun berkahwin dengan lelaki berharta.
“Lelaki kaya macam mana pun, perempuan kena pandai cari duit. Dengar Aaisyah!”usiknya.
Menerusi video di Instagramnya itu, rata-rata pengikut memuji cara Che Ta mendidik anaknya dengan nilai-nilai praktikal dalam kehidupan sebenar dalam ketegasan.
Untuk rekod, Rozita mendirikan rumah tangga dengan Zain Saidin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 11 tahun.
Terdahulu, Rozita pernah berkahwin dengan Azuar Effendy Zulkafly pada 26 Ogos 1995 dan berpisah pada 8 Mei 2003.
Hasil perkahwinan pertama itu, dia memiliki dua anak lelaki, Ammar Effendy, 29, dan Aniq Ezzra, 27.