Kerja dengan pelawak, saya cuma kena tahan gelak - Aedy Ashraf - Utusan Malaysia

Kerja dengan pelawak, saya cuma kena tahan gelak – Aedy Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Aedy Asyraf, 32, mengakui cabaran utama dalam menjayakan filem terbaharu, Klepet X Under 18, adalah menahan ketawa ketika berada di set penggambaran.

Memegang watak sebagai Pali dalam filem arahan Indra Putra itu, Aedy menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang segar dalam kerjayanya.

“Dalam filem Klepet ini saya memegang watak Pali. Ia sebuah filem komedi. Bagi saya, genre ini sangat ‘fresh’.

“Saya sendiri dah lama tak tengok atau terlibat dalam filem seperti ini. Bila saya dapat tawaran dan digandingkan pula dengan kawan-kawan baik saya iaitu Nadhir dan Meerqeen, tentunya saya sangat teruja.

“Tapi kalau ditanya mengenai cabarannya, tak adalah banyak. Cuma saya kena tahan gelak, sebab skrip memang lawak. Berlakon dengan pelawak-pelawak seperti Joey dan Eric Fuzi pula, mereka memang kelakar habis,” katanya.

Aedy turut berkongsi keterujaannya apabila mengetahui filem itu turut melibatkan kolaborasi dengan jenama komik popular, Under 18, yang mempunyai peminat tersendiri.

“Bila dapat tahu ini kolaborasi dengan Under 18, satu jenama komik yang ramai orang tahu dan minat, saya rasa ia satu gabungan yang menarik.

“Saya harap bila ia ditayangkan nanti, ia akan berjaya menarik minat ramai,” ujarnya.

Tambahnya, pada awal penggambaran filem itu, kolaborasi bersama komik Under 18 masih belum dimuktamadkan dan proses penggambaran dijalankan seperti biasa.

Selain itu, Aedy turut menyedari bahawa penggemar komik Under 18 mungkin mempunyai jangkaan tersendiri terhadap filem ini, namun menjelaskan bahawa filem ini tidak mengambil alih watak-watak asal dalam komik tersebut.

“Apa yang boleh saya katakan, jangan risau. Kolaborasi ini bagi saya sangat menarik. Kita tidak memainkan watak-watak dari Under 18, tetapi kita bersama-sama berganding bahu dengan watak-watak komik itu dalam satu dunia yang sama,” katanya lagi.

Diterbitkan oleh Kadokawa Gempak Starz dengan kerjasama studio filem Respected Citizen, keluaran unik ini menggabungkan dunia komik dan filem Malaysia sebagai salah satu rangkaian promosi filem sekaligus mempamerkan potensi tanpa had bakat kreatif tempatan.

Kolaborasi ini lebih daripada sekadar hiburan ia adalah perayaan ekosistem kreatif Malaysia.

Projek ini menghubungkan komik dan filem dengan cara yang menonjolkan penceritaan tempatan, seni visual dan persembahan mampu membuktikan kreativiti pencipta Malaysia boleh membuka sempadan serta inspirasi kepada audiens baharu.

Filem ini dijangka akan ditayangkan menjelang hujung tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN