Kalau boleh saya tak mahu melaluinya lagi - Ernie Zakri - Utusan Malaysia

Kalau boleh saya tak mahu melaluinya lagi – Ernie Zakri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Diuji dengan kesihatan suara ketika menjayakan konsert solo pertamanya sebelum ini, penyanyi, Ernie Zakri, bagaimanapun memberi jaminan perkara itu tidak berlaku lagi.

Kata Ernie, ini kerana dia begitu teruja untuk memastikan penglibatannya dalam Konsert Empat Live in Kuala Lumpur bersama Anuar Zain, Ziana Zain dan Syamel mampu berjalan dengan sempurna pada 18 Oktober ini.

“Saya sedar, ketika melakukan konsert Aura Ernie Zakri Live in Concert sebelum ini kesihatan suara saya tidak begitu baik.

“Saya reda dengan ujian kesakitan itu, namun, bagaimana otak saya berfungsi detik itu. Jadi, kalau boleh, saya tidak mahu melaluinya lagi.

“Banyak yang saya belajar dari pengalaman. Saya harus tambah baik, bukan pada pihak saya, sebaliknya, seluruh pasukan.

“Apa yang paling penting adalah pastikan rehat secukupnya sebelum konsert,” katanya.

Perkara itu, kata Ernie menimbulkan perasaan trauma kepada dirinya namin menganggap ia satu pengalaman yang harus dijadikan iktibar.

“Sudah tentulah saya trauma dengan apa yang berlaku sebelum ini. Kalau boleh, saya tidak mahu berada dalam keadaan itu lagi, bukan keadaan ketika sakit.

”Tetapi, Alhamdulillah, kesihatan suara saya sudah pulih. Kejadian itu terjadi kerana kurang rehat. Apa yang saya belajar, setiap kali sebelum konsert kena dapatkan rehat yang cukup,” katanya.

Pada konsert solo pertamanya itu, Ernie dilapor turut mengalami jangkitan Laringitis, iaitu masalah keradangan pita suara.

Sementara itu, Ernie mengakui sebak apabila mendapat peluang berkolaborasi dengan bapa dan ibu saudaranya termasuk suaminya senditi menerusi konsert Empat.

“Saya membesar melihat dua figura itu membuat persembahan. Apabila melihat kejayaan Ziana dan Anuar, ia memberi inspirasi kepada saya untuk jadi seperti mereka,” katanya.

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 akan dipentaskan di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 18 Oktober depan.
Konsert itu dibawakan Anuar Zain Network dan Altus ProHouse.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN