KUALA LUMPUR : Pelakon dan usahawan selebriti, Aeril Zafrel, berharap orang ramai tidak terpedaya dengan mana-mana individu yang cuba menyamar sebagai dirinya atau Wawa Zainal untuk tujuan penipuan.
Menurut Aeril, ini kerana dia mendapat tahu wujud pihak tidak bertanggungjawab cuba menjanjikan wang tunai dengan jumlah agak lumayan namun memperdayakan mangsa dengan meminta wang pendahuluan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Aeril dan Wawa, kedua-duanya menafikan bahawa mereka terlibat dengan penipuan seperti itu.
“Ini scam. Tidak mudah saya nak beri hadiah kepada orang tanpa sebab. Jangan mudah percaya,” katanya.
Aeril menulis perkara tersebut di Instagram miliknya.
Menerusi hantaran sama, Aeril turut berkongsi tangkap layar seorang individu yang mendakwa dirinya wakil kepada pihak Wawa.
Menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp itu, individu berkenaan menawarkan hadiah lumayan bernilai RM30,500.
Malah dia juga turut berani bersumpah atas nama Wawa sebagai janji hadiah yang bakal diterima itu bukan satu pembohongan.
“Saya Wawa bersumpah kalau bohong akan kena bala besar.
“Wawa akan bertanggungjawab apabila sudah hantar pengesahan dan jika hadiah belum masuk, semua amal ibadah tidak akan diterima,” jelas pesanan suara yang kononnya menyamar sebagai Wawa.