JAKARTA: Pelakon dan usahawan terkenal, Baim Wong, berjaya memperoleh hak penjagaan penuh ke atas anak hasil perkahwinannya dengan model dan pelakon Paula Verhoeven selepas Mahkamah Tinggi Agama Jakarta memutuskan demikian dalam keputusan rayuan yang diumumkan baru-baru ini.
Menurut peguam mewakili Baim Wong, Fahmi Bachmid, keputusan mahkamah tersebut sekali gus membatalkan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Agama Jakarta Selatan yang sebelum ini menetapkan pengasuhan anak dibahagikan secara bergilir iaitu dua minggu bersama bapa dan dua minggu bersama ibu.
“Dalam keputusan terkini, hak asuh anak secara keseluruhan diberikan kepada Baim Wong.
“Mahkamah menilai hanya dia yang layak untuk mendapatkan hak penjagaan penuh atas anak tersebut,” jelasnya ketika ditemui media di Jakarta, semalam.
Jelasnya lagi, keputusan itu dibuat selepas pihaknya turut mengemukakan rayuan balas sejurus mengetahui pihak Paula Verhoeven turut memfailkan rayuan terhadap keputusan terdahulu.
“Sebaik Paula mengemukakan rayuan, saya terus diarahkan oleh Baim untuk turut mengemukakan rayuan. Kata Baim, ‘Bang, kalau dia rayu, Abang pun kena rayu’,” katanya.
Tambah Fahmi, pada peringkat awal, Baim Wong sebenarnya telah mencadangkan satu penyelesaian yang adil iaitu pembahagian masa penjagaan anak secara bergilir dua minggu seorang.
Cadangan itu menurutnya bersifat fleksibel dan mampu memuaskan hati kedua-dua pihak.
Namun, menurut Fahmi lagi, sikap bekas isteri Baim itu yang memilih untuk meneruskan tindakan undang-undang dan turut melaporkan beberapa individu lain menyebabkan mahkamah akhirnya membuat keputusan memberikan hak asuh sepenuhnya kepada Baim Wong.
“Sekarang mahkamah memutuskan hak asuh anak berada di tangan Baim Wong, sepenuhnya.
“Manakala Paula hanya diberikan akses untuk bertemu, namun tidak diberikan hak penjagaan atau akses yang lebih luas dari itu,” katanya.
Untuk rekod, Baim Wong dan Paula Verhoeven mendirikan rumah tangga pada 22 November 2018.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, iaitu Muhammad Kiano Tiger Wong yang kini berusia 5 tahun, dan Kenzo Eldrago Wong yang berusia 3 tahun.
Namun, rumah tangga mereka berakhir selepas Paula Verhoeven memfailkan permohonan cerai pada Mei 2024, dan mereka disahkan bercerai tidak lama selepas itu.